suria

Berhati-hati YB! Kod Etika digubal bimbing Ahli Parlimen

KUALA LUMPUR: Ahli-ahli Parlimen kena berhati-hati apabila bercakap di Parlimen!

Kod etika budi bahasa bagi Ahli Parlimen akan dilaksanakan tidak lama lagi bagi menjaga kesopanan Wakil Rakyat ketika mengeluarkan kenyataan pada persidangan Dewan Rakyat.

Ia diumumkan oleh Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal semalam.

Kata beliau, kod tersebut akan membantu Ahli Parlimen agar lebih berhatihati dan teliti ketika mengeluarkan kata-kata agar tidak menyinggung manamana pihak.

"Kita sudah mengenal pasti beberapa pendekatan yang sesuai untuk kegunaan Anggota Parlimen dan ahli Yang Berhormat," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Kempen Budi Bahasa Budaya Kita 2008 peringkat kebangsaan di sini.

Shafie berkata, satu kertas peringatan sudah dibentangkan kepada Ahli Parlimen barubaru ini mengenai kempen tersebut.

"Peringatan ini perlu kerana Ahli Parlimen selalu menjadi perhatian rakyat, apa yang mereka katakan adalah menjadi tanggapan rakyat dan sudah semestinya mereka juga terikat dengan sikap berbudi bahasa.

"Mereka merupakan ahli Yang Berhormat yang mempunyai pengaruh yang begitu kuat bukan hanya di kawasan masing-masing malahan juga di peringkat kebangsaan," katanya.

Sementara itu Menteri Luar, Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata, amalan mencampuradukkan bahasa Malaysia dengan bahasa Inggeris semasa perbualan harian di kalangan rakyat negara ini, menunjukkan mereka mengalami kecamukan budaya.

Beliau berkata, amalan sedemikian bukan sahaja menyebabkan seseorang individu tidak dapat menguasai keduadua bahasa berkenaan dengan baik, malah menjejaskan kelancaran berkomunikasi.

"Kalau cakap bahasa Malaysia cakaplah dengan penggunaan yang betul, kalau cakap Bahasa Inggeris pun, cakaplah dengan betul," katanya semasa merasmikan Penubuhan Majlis Alumni Institut Perguruan Bahasa Melayu Malaysia.

Rais berkata, kuasa yang diberi kepada Dewan Bahasa dan Pustaka untuk membetulkan penyalahgunaan bahasa Malaysia dalam penerbitan dan papan tanda tidak mendatangkan kesan yang positif.

"Masalah penggunaan bahasa adalah lantaran kelemahan dalam penegasan dan penguatkuasaannya, hingga ada pihak-pihak yang ambil kesempatan dan memperkecilkan akta Bahasa Kebangsaan," katanya.

Artikel Lain