suria

Permintaan terbaru Sabah Khaskan kerusi Naib Presiden Umno

KUALA LUMPUR: Umno Sabah hari ini meletakkan permintaan terbaru - satu daripada tiga kerusi Naib Presiden parti perlu diberikan kepada pemimpin negeri itu sebagai menghargai peranan parti itu dalam pilihan raya umum lepas.

Permintaan itu dikemukakan oleh calon Naib Presiden, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Beliau yang juga Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan itu berkata, pengorbanan rakyat Sabah dalam memastikan kejayaan Umno sebagai tunggak Barisan Nasional perlu diiktirafkan dengan meletakkan seorang daripada pemimpin Umno di negeri itu sebagai pemimpin nombor tiga dalam parti.

"Jawatan ini selaras dengan hasrat kita untuk memperkuatkan jambatan sedia ada antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak," katanya di sini.

Mengenai pencalonan beliau sebagai Naib Presiden parti menjelang pemilihan Umno Mac depan, Shafie berkata, beliau yakin anggota Umno sudah cukup matang dalam membuat keputusan untuk memilih pemimpin yang akan mewakili mereka kelak.

"Satu peringatan yang harus dibuat di sini ialah semua ahli harus memperkuatkan parti dan bukannya menjaga kepentingan sendiri," kata beliau dipetik Bernama.

Sehingga pukul 3 petang tadi, Shafie yang merupakan Timbalan Ketua Perhubungan Umno Sabah, telah memperoleh 51 pencalonan untuk bertanding jawatan Naib Presiden.

Perlembagaan Umno menetapkan perlu memperoleh sekurangkurangnya 20 pencalonan untuk layak bertanding jawatan naib presiden parti.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain