suria

Razaleigh dapat pencalonan pertama Najib terus kekal unggul

[DIKEMAS KINI, 9 malam] PETALING JAYA: Tengku Razaleigh Hamzah (gambar) memperoleh pencalonan pertama hari ini - daripada bahagiannya sendiri bagi untuk bertanding jawatan Presiden Umno Mac depan.

Pun begitu, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terus mengungguli jumlah pencalonan yang diterima bagi jawatan Presiden Umno dengan menerima sembilan lagi pencalonan hari ini.

Ini menjadikan jumlah yang diterima Najib setakat ini sebanyak 112 pencalonan.

Najib menerima pencalonan daripada bahagian Padang Serai, Tambun, Bagan, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kota Bahru, Kuala Krau, Jerantut, Bera dan Kubang Pasu.

Malah bahagian itu menamakan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad untuk jawatan Timbalan Presiden.

Ini kali pertama beliau dicalonkan untuk bertanding jawatan itu, menjadikan empat calon setakat ini.

Bahagian Gua Musang memulakan persidangan perwakilan kira-kira pukul 10 pagi.

Tengku Razaleigh yang juga Ketua Umno Bahagian Gua Musang memperoleh pencalonan pertama setelah 104 bahagian selesai mengadakan pertemuan masing-masing.

Pada mesyuarat itu, Razaleigh dicalonkan sebulat suara oleh 384 perwakilan yang hadir di Kompleks Umno Gua Musang Bukit Cekati, Gua Musang.

Bagaimanapun bekas Naib Presiden Umno itu memerlukan minimum 58 pencalonan untuk layak bertanding jawatan Presiden.

Tengku Razaleigh sebelum ini pernah menegaskan beliau tidak akan berundur untuk bertanding jawatan Presiden parti walaupun belum mendapat pencalonan daripada manamana bahagian.

Antara matlamat perjuangannya untuk bertanding jawatan presiden parti itu adalah untuk memulihkan kembali imej Umno yang terjejas teruk dalam pilihan raya umum Mac lalu sehingga Barisan Nasional kehilangan lima negeri iaitu Pulau Pinang, Perak, Kedah, Selangor dan Kelantan.

Beliau juga berhasrat untuk memansuhkan sistem kouta untuk pencalonan jawatan tertinggi parti yang diperkenalkan pada 1996.

Melalui sistem kuota itu, calon presiden memerlukan 30 peratus atau 58 pencalonan (daripada 191 bahagian Umno kini), timbalan presiden (20 peratus atau 38 pencalonan), naib presiden (10 peratus atau 19 pencalonan dan majlis tertinggi (5 peratus atau 10 pencalonan).

Sejak mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Presiden, Razaleigh telah mengadakan lawatan untuk bertemu dan berkempen kepada peringkat akar umbi anggota Umno di seluruh negara.

Pertandingan untuk merebut jawatan Presiden parti bukanlah pertama kali dicabar oleh Tengku Razaleigh yang sebelum ini sudah dua kali berbuat demikian.

Pada pemilihan parti pada 1987, beliau mencabar bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bagi jawatan Presiden Umno tetapi tetapi tewas dengan 43 undi.

Pada 2004, beliau menawarkan diri bertanding menentang Perdana Menteri dan Presiden Umno Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, tetapi beliau gagal mendapat peratusan pencalonan yang diperlukan.

KEDUDUKAN JAWATAN-JAWATAN LAIN

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula mendahului bagi jawatan Timbalan Presiden dengan mendapat 68 pencalonan apabila menokok empat lagi pencalonan daripada bahagian Bagan, Tambun, Kota Baharu dan Kubang Pasu manakala Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam menambah satu pencalonan daripada bahagian Padang Serai menjadikan 24 pencalonan setakat ini.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Tan Sri Muhammad Muhamad Taib mendapat lima lagi pencalonan hari ini daripada bahagian Pasir Mas, Rantau Panjang, Kuala Krau, Jerantut dan Bera menjadikan 20 pencalonan setakat ini manakala Shahrir menerima pencalonan sulungnya bagi jawatan Timbalan Presiden menerusi bahagian Gua Musang.

Bagi jawatan Naib Presiden, Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein menokok sembilan pencalonan menjadikan 94 pencalonan yang diterima setakat ini.

Bagi jawatan itu juga Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi menambah enam pencalonan menjadikan 69 pencalonan.

Hishammuddin menerima pencalonan daripada bahagian Bagan, Tambun, Pasir Mas, Rantau Panjang, Kuala Krau, Jerantut, Kota Bahru, Bera dan Kubang Pasu manakala Ahmad Zahid menerima pencalonan daripada bahagian Bagan, Tambun, Pasir Mas, Kota Bahru, Jerantut dan Kubang Pasu.

Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Mohd Shafie Apdal mendapat tiga lagi pencalonan menjadikan 47 semuanya manakala Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin menambah satu pencalonan menjadikan 50 setakat ini.

Shafie mendapat pencalonan daripada bahagian Kota Bahru, Bagan dan Tambun manakala Khaled menerima pencalonan daripada bahagian Rantau Panjang.

Lain-lain calon Naib Presiden yang menerima pencalonan hari ini ialah Datuk Seri Dr. Jamaluddin Jarjis yang menerima pencalonan daripada bahagian Kubang Pasu, Kuala Krau, Jerantut dan Bera menjadikan 11 pencalonan setakat ini, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad menokok empat pencalonan menjadi 13 apabila menerima pencalonan daripada bahagian Padang Serai, Pasir Mas, Gua Musang dan Bera.

Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik pula menokok dua pencalonan hari ini menjadikan sembilan pencalonan menerusi bahagian Padang Serai dan Rantau Panjang manakala Menteri Luar Datuk Seri Dr Rais Yatim menerima pencalonan daripada bahagian Kuala Krau menjadikan sembilan pencalonan.

Halimah dan Affifuddin pula masing-maing mendapat pencalonan sulung sebagai naib presiden daripada bahagian Gua Musang.

Lain-lain calon Naib Presiden ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar (22), Datuk Seri Shahidan Kassim (6), Datuk Seri Mohamad Hasan (3), Datuk Seri Musa Aman (2), Tan Sri Annuar Musa (1) dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1).

BERITA TERDAHULU

PETALING JAYA: Persidangan perwakilan bahagian Umno masuk minggu keempat dengan 14 bahagian dijadual mengadakan pertemuan hari ini.

Antara bahagian yang turut mengadakan persidangan perwakilan ialah Gua Musang, yang diketuai oleh Tengku Razaleigh Hamzah.

Razaeligh yang turut menawarkan diri untuk bertanding jawatan Presiden belum menerima sebarang pencalonan setakat semalam.

Sebaliknya, Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak muncul pemimpin tunggal menerima pencalonan bagi kerusi Presiden.

Najib telah memperoleh 105 pencalonan setakat ini.

Sebanyak 105 daripada 191 bahagian telah pun mengadakan pertemuan.

Kebanyakan bahagian yang bersidang hari ini adalah dari Kelantan.

Di Kelantan selain Gua Musang turut mengadakan persidangan ialah Pasir Mas, Pengkalan Chepa, Rantau Panjang, Kota Bharu dan Kubang Kerian.

Bahagian-bahagian lain ialah Kubang Pasu, Kulim Bandar Baharu, Bagan, Papar, Tambun, Jerantut, Kuala Krau dan Kuala Nerus. Turut mendapat perhatian ialah sama ada Datuk Seri Mohd. Ali Rustam dan Tan Sri Muhammad Muhd. Taib akan turut melayakkan diri bertanding jawatan Timbalan Presiden.

Kemungkinan jumlah pencalonan hari ini tidak membolehkan mereka layak bertanding jawatan berkenaan.

Esok 23 bahagian lagi akan mengadakan persidangan masing-masing.

Bagi jawatan tersebut Naib Presiden Tan Sri Muhyiddin Yassin telah pun melayakkan diri bertanding jawatan berkenaan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain