suria

Persidangan Umno Kubang Kerian ditangguh

KOTA BAHARU: Persidangan perwakilan Umno Bahagian Kubang Kerian yang dijadualkan hari ini ditangguhkan sebagai mematuhi arahan ibu pejabat Umno.

Timbalan Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian, Abdul Ghani Mamat berkata, bahagian akur dengan arahan agar mesyuarat bahagian ditangguhkan sehingga mesyuarat cawangan bahagian itu yang diarah diadakan semula selesai.

"Arahan daripada ibu pejabat Umno meminta kami mengadakan semula mesyuarat cawangan yang membuat bantahan kemudian selepas selesai barulah diadakan mesyuarat bahagian," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Semalam Ketua Umno Bahagian Kubang Kerian, Mohd Fauzi Ismail berkata, mesyuarat bahagian itu akan tetap diadakan hari ini mengikut surat kebenaran yang dikeluarkan oleh Badan Perhubungan Umno Kelantan .

Dua hari lepas, Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Tan Sri Annuar Musa berkata, ibu pejabat Umno telah mengarahkan persidangan bagi kesemua cawangan dalam bahagian Kubang Kerian diadakan semula.

Sehubungan itu, mesyuarat bahagian yang dijadualkan hari ini diarah ditangguhkan sehingga mesyuarat cawangan itu selesai. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain