Kesan kos bahan api harga beras turun 20 sen - Semasa | mStar

Kesan kos bahan api harga beras turun 20 sen

KUALA LUMPUR: Sejajar dengan seruan kerajaan agar peniaga menurunkan harga barangan terutamanya bahan makanan ekoran penurunan harga bahan api, harga beras di pasaran tempatan juga telah turun 20 sen sekilogram.

Ketika mengumumkan perkara itu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Mustapa Mohamed berkata, pihaknya menerima notis mengenai perkara itu dua hari lepas setelah membuat tinjauan di pasar raya seluruh negara.

"Harga beras dah turun harga pada purata 20 sen sekilogram di mana harga bagi beras tempatan lima peratus hancur turun daripada RM2.80 kepada RM2.60 sekilogram, manakala yang 10 peratus hancur juga turun daripada RM2.70 ke RM2.50 sen sekilogram.

"Bagaimanapun harga beras 15 peratus masih kekal pada RM1.80 kerana ini beras subsidi yang harga sebenarnya RM2.30 sekilogram," katanya kepada pemberita selepas melawat Pasar Borong Kuala Lumpur di sini.

Harga bagi beras 15 peratus hancur tidak boleh diturunkan kerana kerajaan sudah membelanjakan sebanyak RM400 juta setahun untuk subsidi beras berkenaan.

Mustapa berkata, langkah itu antara lain dapat menjaga kepentingan penanam padi di negara ini.

Kepada soalan apakah terdapat satu bentuk kawalan terhadap kos pengangkutan berikutan penurunan harga minyak barubaru ini, beliau berkata, walaupun tiada kawalan seumpama itu namun diharapkan harga barangan yang selalunya dipengaruhi secara langsung oleh kos pengangkutan akan turut diturunkan.

Mengenai lawatannya ke Pasar Borong berkenaan, Mustapa berkata ia adalah untuk meninjau proses barangan yang bermula daripada petani sebelum sampai ke tangan peruncit dan pengguna.

"Kita kena faham proses atau berapa lapis yang perlu dilalui oleh sesuatu barangan kerana ia memberi kesan terhadap harga.

"Pertama sekali, saya ingin melihat berapa lapis yang terlibat di pasar borong ini dan yang keduanya, saya ingin meninjau proses penentuan harga di peringkat peruncit," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain