suria

Isteri mengandung 5 bulan temui suami berlumuran darah

JOHOR BAHARU: Seorang wanita terkejut apabila mendapati suaminya berlumuran darah di kilangnya di Taman Kempas awal pagi ini.

Wanita tersebut yang sedang mengandung lima bulan segera meminta bantuan jiran untuk menghantar suaminya Loh Choo Kian, 35, ke Hospital Pakar Kempas.

Namun Loh, yang terdapat beberapa kesan luka pada badannya meninggal dunia sebaik tiba di hospital tersebut kira-kira 5.10 pagi.

Berikutan itu, wanita berkenaan membuat laporan polis di Balai Polis Kempas.

Pasukan forensik kemudian dihantar ke tempat kejadian untuk membuat pemeriksaan.

Beberapa jam kemudian, polis turut menemui mayat seorang wanita Indonesia yang dikenali sebagai Salimah, berumur sekitar 30an, tidak jauh daripada tempat kejadian.

"Apabila membuat pemeriksaan, kami menemui mayat seorang wanita di lereng bukit, kira-kira 50 meter daripada kilang berkenaan.

"Wanita tersebut dikatakan tinggal di sebuah bilik di kilang itu," kata Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Johor, ACP Che Yusoff Che Ngah.

Polis belum dapat menentukan kaitan antara keduadua mangsa, katanya.

"Kami masih menyiasat motif pembunuhan kedua-duanya," tambah beliau.

Che Yusoff berkata, beberapa orang telah disoal siasat dan mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi talian hotline 07-2212999 bagi membantu siasatan kes.

Seorang jiran berkata, isteri Loh meminta bantuan daripadanya kira-kira 4.30 pagi.

Apabila dia dan suaminya ke tempat kejadian, mereka mendapati Loh dalam keadaan berlumuran darah, sebelum menghantarnya ke hospital.

Jiran itu berkata, Loh pernah bermalam di kilang tersebut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain