suria

Harga petrol diesel turun lagi kali ini 15 sen

[DIKEMAS KINI] PUTRAJAYA: Harga runcit petrol dan diesel dikurangkan sebanyak 15 sen seliter berkuat kuasa tengah malam tad - kali keempat berturut-turut.

Sehubungan itu, harga petrol RON97 dikurangkan daripada RM2.30 seliter kepada RM2.15 seliter, petrol RON92 dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

Diesel pula dikurangkan daripada RM2.20 seliter kepada RM2.05 seliter.

"Oleh kerana harga minyak dunia telah menurun secara ketara akhir-akhir ini, kerajaan telah membuat keputusan untuk sekali lagi mempercepatkan pengurangan harga runcit bagi membolehkan orang ramai menikmatinya," kata Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.

Ini merupakan kali keempat kerajaan menurunkan harga minyak di pam sejak Ogos lepas.

Penurunan sebelum ini adalah pada 23 Ogos, 24 September dan 15 Oktober.

Sebelum ini, harga petrol RON97 turun dari RM2.70 seliter kepada RM2.55, RM2.45 dan RM2.30 manakala petrol RON92 dari RM2.62 seliter kepada RM2.40, RM2.30 dan RM2.20.

Diesel pula turun dari RM2.58 seliter kepada RM2.50, RM2.40 dan RM2.20.

BERITA TERDAHULU

Keputusan sama ada harga minyak akan diturunkan buat kali keempat - dijangka di antara 15 dan 20 sen akan dibincangkan pada mesyuarat Kabinet hari ini.

mStar Online difahamkan jika penurunan diputuskan ia akan berkuat kuasa tengah malam ini.

Menurut Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Shahrir Abdul Samad, sebarang penurunan harga minyak akan diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sekiranya mendapat persetujuan daripada kalangan Jemaah Menteri yang bermesyuarat hari ini.

"Perkara ini perlu dibincang terlebih dahulu dan keputusan ini perlu melibatkan empat menteri iaitu Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri (Datuk Seri Najib Tun Razak), Menteri Kewangan II (Tan Sri Nor Mohamed Yakcop) dan saya.

"Jadi saya tidak tahu apa keputusannya.

"Memang kerajaan berhasrat menurunkan harga minyak. Tetapi ia (umum) mungkin esok, lusa atau dua minggu lagi," katanya pada pemberita selepas merasmikan Kempen Penurunan Harga Barang oleh pasar raya Tesco di sini semalam.

Kali terakhir kerajaan menurunkan harga minyak adalah pada 15 Oktober lepas dengan harga petrol RON97 dikurangkan sebanyak 15 sen kepada RM2.30 sen seliter sementara harga petrol RON92 diturunkan 10 sen menjadi RM2.20 manakala diesel turun 20 sen kepada RM2.20.

Pada 4 Jun lepas, kerajaan mengumumkan kenaikan harga petrol sebanyak 78 sen atau kirakira 41 peratus, kepada RM2.70 seliter daripada RM1.92 seliter, berikutan lonjakan harga minyak mentah dunia ketika itu.

Mengenai andaian bahawa harga minyak akan turun mulai esok (Jumaat), Shahrir berkata, beliau tidak mengetahui perkara itu.

Terdahulu, Shahrir yang dipetik Bernama mengucapkan tahniah kepada pasar raya Tesco kerana turut menjayakan Kempen Penurunan Harga Barang anjuran kementerian. Kempen itu turut disokong oleh pasar raya Mydin dan Carrefour yang masingmasing akan mengadakan potongan harga barangan mulai esok.

Menyahut seruan kerajaan untuk menurunkan harga barangan sejajar dengan penurunan harga minyak, Tesco hari ini memberikan potongan harga selama tiga bulan mulai hari ini bagi 50 produk makanan segar tempatan selain mengadakan promosi barangan keperluan lain dengan potongan harga selama dua minggu.

Ketua Pegawai Operasi Tesco Malaysia, David Hobbs berkata, potongan harga barangan Tesco merupakan komitmen pasar raya itu kepada pengguna untuk jimat berbelanja.

"Pengguna kini menghadapi beban perbelanjaan bahan api dan tenaga elektrik yang tinggi. Mereka kini mengurangkan perbelanjaan makan di luar, membeli barangan bukan makanan dan berhemah dalam perbelanjaan bukan barangan keperluan.

"Meskipun demikian mereka tidak bersedia untuk berkompromi dalam barangan segar.

"Mereka mahukan penurunan harga bagi barangan perlu dan bukan pada barangan yang kurang digunakan. Potongan harga sehingga 47 peratus barangan segar hari ini merupakan satu contoh bagaimana kami mendengar pengguna dan membantu mereka menambah kuasa beli mereka," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain