suria

Beli Eurocopter BPR juga mula siasat

NILAI: Tumpuan terhadap isu dakwaan 'unsur-unsur tidak sihat' dalam pembelian helikopter Eurocopter EC725 Cougar bagi mengantikan Nuri semakin luas dengan Badan Pencegah Rasuah (BPR) mengumumumkan ia sudah mula membuka kertas siasatan berhubung isu itu.

Siasatan tersebut dibuat berikutan kritikan sesetengah pihak mengenai harganya yang terlalu mahal dan didakwa dipengaruhi pihak tertentu.

Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Ahamd Said Hamdan berkata, kertas siasatan tersebut baru dibuka selepas menerima maklumat daripada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) baru-baru ini.

"Dokumen dan maklumat penting dah dapat daripada PAC dan kita baru sahaja membuka kertas siasatan," kata beliau pada sidang akhbar selepas merasmikan Latihan Ujian Menembak BPR di Lapang Sasar Mantin di sini hari ini.

Beliau berkata, kes tersebut akan disiasat yang merangkumi semua aspek termasuk prosedur pemilikan dan juga rasuah.

"Ini termasuk semua aspek termasuk rasuah. Kita akan lihat prosedur seperti adakah kepincangan dalam prosedur dan beberapa aspek lain yang terdapat dalam prosedur itu," kata beliau dipetik Bernama.

Pada Selasa lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi yang juga Menteri Pertahanan mengumumkan bahawa kerajaan menangguhkan pembelian 12 helikopter itu yang berharga RM1.679 bilion sehingga keadaan ekonomi dunia stabil.

Beliau berkata, kerajaan terpaksa menumpukan perhatiannya pada projek yang lebih penting yang boleh memberikan manfaat kepada orang ramai.

Kelmarin, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdulah Ahmad Badawi mengakui berlaku sedikit kesilapan semasa beliau menyatakan mengenai harga pembelian Eurocopter EC-725 semasa mengumumkan keputusan penangguhan pembeliannya Selasa lalu.

Beliau berkata, angka "dibundarkan" sebanyak RM1.7 bilion yang diberikan sebelum ini adalah silap.

"Semasa saya membuat kenyataan yang ia sebanyak RM1.7 bilion, itu silap... saya minta maaf bagi kesilapan itu, pegawai letakkan RM1.607 bilion, jadi saya kata kita boleh bundarkan angka itu kepada RM1.7 bilion.

"Pagi ini semasa saya di Kementerian Pertahanan, saya dimaklumkan yang angka itu salah, sebenarnya harganya RM1.607 bilion. Tetapi ini adalah akademik sebenarnya, apabila kami memutuskan kemudiannya untuk merundingkan pembelian helikopter dan pada ketika itu kami berpendapat tiba masanya untuk kami berbuat demikian, kami lihat apakah harganya yang sebenar," katanya.

Sehari sebelum itu, anggota Penasihat DAP, Lim Kit Siang meminta Perdana Menteri supaya menjelaskan perbezaan dalam jumlah kos yang diperuntukkan untuk membeli 12 helikopter berkenaan.

Menurut Lim, pengumuman Abdullah menunjukkan kerajaan akan memperuntukkan RM1.67 bilion iaitu berbeza berbanding dengan nilai RM1.1 bilion yang diumumkan oleh Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Abu Bakar Abdullah pada Sabtu lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain