suria

Abdullah lepaskan jawatan sebaik pemilihan Umno selesai

PETALING JAYA: Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata, beliau akan melepaskan jawatan Perdana Menteri sebaik sahaja Perhimpunan Agung Umno selesai diadakan.

"Beberapa hari selepas (perhimpunan)... bagi menyelesaikan beberapa perkara," kata Presiden Umno itu di sini semalam.

Di bawah peralihan kuasa yang dipercepatkan Abdullah memutuskan untuk tidak mempertahankan jawatan Presiden Umno.

Kerusi itu akan ditandingi timbalannya Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak.

Pemilihan diadakan Mac depan.

Ketika bercakap kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di ibu negara semalam, Abdullah berkata, parti telah menetapkan perhimpunan agung akan diadakan dari 24 hingga 28 Mac depan.

"Umno bahagian diminta menyediakan laporan mesyuarat bahagian dan hantar pada ibu pejabat Umno supaya persediaan boleh dibuat oleh ibu pejabat," kata Abdullah.

Perdana Menteri turut memberi amaran kepada pelobi dan perayu undi bagi calon bertanding pemilihan parti, yang banyak dikesan berada di hotel di sekitar Kuala Lumpur dan negerinegeri, supaya pulang ke kawasan masingmasing atau menghadapi tindakan disiplin.

"Laporan yang diterima, ramai mereka ini sedang berada di hotelhotel di KL (Kuala Lumpur) dan negeri untuk kempen secara langsung dan tidak langsung untuk dorong undi atau jangan mengundi (calon tertentu).

"Ini berleluasa di hotel sebagai tempat pertemuan. Bagi elak jadi lebih teruk, saya ingin beri amaran (kepada mereka) agar pulang ke kawasan masingmasing sebelum dikesan oleh pemantau yang sudah mula jalankan tugas masingmasing," katanya.

Katanya, para calon yang bertanding juga dilarang menggunakan jentera kerajaan secara langsung atau tidak langsung untuk berkempen.

Abdullah juga menasihatkan kumpulan tertentu menghentikan menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) yang memfitnah serta mentohmah seseorang calon dan anggota parti yang menerima pesanan tidak terpengaruh oleh SMS berniat jahat yang boleh menghancurkan perpaduan parti.

"Majlis Tertinggi memberi amaran pada calon dan anggota agar merujuk semula pada tata etika dan jangan langgar peraturan atau (bersedia) menghadapi tindakan tegas selaras dengan perlembagaan. Ia bukan saja pada penerima tetapi juga pemberi," katanya.

Beliau berkata, MT juga memutuskan membenarkan calon yang bertanding bertemu anggota parti dalam pertemuan yang diatur oleh ibu pejabat Umno di semua negeri.

"Semua yang akan bertanding, MT akan diberi kesempatan untuk bertemu. Tidak ada acara lain yang akan diadakan. Dengan cara ini mereka akan dapat bertemu anggota di peringkat negeri," katanya.

Abdullah berkata, pertemuan seumpamanya bertujuan memastikan mereka tidak terlibat dalam kempen tidak beretika.

Abdullah berkata MT turut membincangkan isu-isu politik, sosial yang setiap hari dipaparkan media yang mesti ditangani dengan baik.

Mengenai cadangan debat antara calon yang menawarkan diri bertanding jawatan dalam parti, Presiden Umno itu berkata, perkara itu langsung tidak dibincangkan.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain