suria

Tiada alasan tarik diri tanding Timbalan Presiden Muhammad

KUALA LUMPUR: Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhammad Taib berkata, setakat ini tidak ada alasan untuk beliau menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden pada pemilihan parti yang akan berlangsung Mac depan.

Muhammad yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah telah menerima 17 pencalonan sehingga kini dan yakin akan menerima pencalonan yang mencukupi apabila berakhirnya mesyuarat peringkat bahagian pada 9 Nov ini.

"Tiada perkara seperti itu... tiada istilah untuk tarik diri. Pada masa itu (sehingga habis mesyuarat bahagian) pencalonan akan cukup," katanya kepada pemberita selepas menghadiri mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Ketika ditanya sama ada beliau yakin akan memperoleh pencalonan mencukupi daripada bahagian lain termasuk daripada negeri Selangor, beliau berkata: "Mudahmudahan. Dan daripada negeri Selangor, sehingga kini bagus."

"Ada lebih kurang 90 bahagian lagi yang belum bermesyuarat, Selangor ada 12 bahagian, ditambah dengan 17 pencalonan yang ada, sudah menjadi 29. Saya hanya perlu 10 lagi," katanya.

Untuk layak bertanding jawatan Timbalan Presiden parti, Muhammad memerlukan sekurangkurangnya 39 pencalonan.

Semasa ditanya mengenai jawatan Timbalan Presiden yang pada kebiasaannya akan memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri, Muhammad hanya berkata: " Saya dapat menjadi menteri sekarang...Saya dah pun jadi menteri. Saya ada 17 pencalonan, saya rasa mereka percayakan saya."

Bagi jawatan Timbalan Presiden, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin mendahului dengan menerima 65 pencalonan dan Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam mendapat 23 pencalonan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain