suria

Polis tumpaskan sindiket curi lori

IPOH: Satu sindiket mencuri dan menjual lori tumpas apabila tiga lelaki disyaki anggota kumpulan itu ditahan dalam serbuan di kawasan Industri Ringan, Kinta Jaya di sini semalam.

Ketiga-tiga lelaki berusia antara 17 dan 29 tahun itu ditahan ketika sedang meleraikan komponen lori berkenaan, kata polis.

Bercakap pada sidang akhbar di sini hari ini Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata serbuan pada pukul 8 malam di premis berkenaan dibuat hasil maklumat orang awam.

Beliau berkata sebanyak lapan kepala lori dan komponen ditemui dalam premis berkenaan yang kesemuanya dipercayai untuk dijual kepada pelanggan mereka di sekitar negeri ini.

"Polis percaya banyak lagi lori yang telah dicuri oleh sindiket berkenaan dan sebanyak 12 lori (termasuk lapan yang ditemui) telah dileraikan oleh mereka sejak tiga bulan lalu dengan nilai lebih RM500,000," katanya.

Azisman berkata siasatan awal polis mendapati semua pelanggan sindiket berkenaan adalah di sekitar kawasan bandaraya ini dan Kuala Lumpur.

Beliau berkata polis kini mengesan seorang lagi lelaki yang dipercayai ketua sindiket berkenaan, dikenali sebagai "Guna" berusia dalam linkungan 30an.

"Suspek menghilangkan diri selepas kegiatannya terbongkar," katanya.

Beliau berkata ketigatiga lelaki yang ditahan dalam serbuan itu direman sehingga Ahad ini untuk siasatan lanjut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain