suria

Perhimpunan Agung Umno 24 28 Mac pelobi diarah usah berkampung

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Abullah Ahmad Badawi hari ini berkata, beliau tidak mempunyai calon pilihan untuk pertandingan bagi jawatan timbalan presiden parti.

Abdullah berkata, apabila beliau membuat kenyataan bahawa Datuk Seri Mohd Ali Rustam layak bertanding bagi jawatan itu baru-baru ini, beliau hanya menjelaskan bahawa Ketua Menteri Melaka itu layak bertanding jawatan berkenaan.

Jelas Abdullah, beliau berkata demikian kerana telah ditanya mengenai kelayakan Mohd Ali bertanding jawatan itu dan bukan bertujuan menyatakan sokongan beliau kepada calon berkenaan.

Apabila ditanya adakah kenyataan itu bermakna beliau tidak mahu perwakilan memberikan undi kepada seorang lagi calon iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah membuat beberapa kenyataan tentang isu peralihan kuasa Abdullah berkata:

"Tidak, tidak, tidak... itu tidak betul," katanya sambil menambah bahawa beliau hanya menyatakan apa salah Mohd Ali bertanding dan tidak lebih dari itu.

Terdahulu beliau mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di sini.

Mesyuarat hari ini juga menetapkan tarikh perhimpunan akan datang iaitu selama lima hari bermula 24 Mac.

MT ARAH PELOBI JANGAN BERKAMPUNG

Dalam pada itu, Abdullah berkata, MT mengarahkan pelobi, perayu undi dan ejen yang mewakili mana-mana calon bakal bertanding, yang didapati berkampung di beberapa hotel di ibu negara Lumpur atau mana-mana bandar, agar pulang ke kampung masing-masing.

Kegagalan berbuat demikian akan membolehkan mereka diambil tindakan jika kehadiran mereka dikesan oleh pasukan pemantau yang telah pun ditubuhkan oleh Ibu Pejabat Umno bagi memastikan kempen bagi pemilihan parti tidak dicemari oleh kegiatan yang melanggar peraturan dan tata etika parti.

Kata Abdullah, Ibu Pejabat Umno sudah diberitahu bahawa ramai pelobi dan ejen calon yang berkampung di hotel-hotel besar sama ada di Kuala Lumpur atau di bandar-bandar lain serta tentang kemungkinan bahawa mereka terlibat dalam kegiatan rasuah politik.

Selain itu, katanya, MT juga mengarahkan semua calon yang memegang jawatan dalam kerajaan agar berhenti menggunakan jentera kerajaan sama ada secara langsung atau tidak langsung untuk tujuan meraih undi dan sokongan.

"Kita bincang berkaitan perkara yang bersabit lobi melobi, kempen, rayu undi dan sebagainya.

"Ada yang mungkin gunakan politik wang. Jadi MT dah bersetuju keluarkan satu arahan berkaitan perkara ini.

"Pertamanya bagi ejen dan pengurus kempen dan perayu undi saya ingin beri amaran agar pulang ke kawasan masing-masing sebelum dikesan oleh pemantau yang dah mula jalankan tugas mereka.

"Kedua, penggunaan jentera kerajan untuk berkempen, saya nak nasihat agar itu dihentikan dan ketiga saya nasihatkan kumpulan tertentu agar berhenti menghantar sistem pesanan ringkas (SMS) fitnah dan tohmahan tentang seseorang calon," kata beliau.

Beliau juga mengingatkan mereka yang menerima SMS yang berbentuk demikian agar jangan mempercayainya.

Abdullah turut mengingatkan semua calon agar sentiasa patuh pada semua peraturan yang telah ditetapkan oleh tata etika parti bagi mengelakkan mereka diambil tindakan tata tertib.

Selain itu, beliau turut mengumumkan bahawa Ibu Pejabat Umno akan mengatur pertemuan-pertemuan khusus yang membolehkan semua calon yang bertanding kelak bertemu dengan ahli-ahli di peringkat negeri.

Pertemuan itu, katanya, akan diatur di semua negeri bagi memberi peluang calon-calon yang bertanding memperkenalkan diri mereka kepada perwakilan dan ahli Umno kelak.

Selain pertemuan yang akan diatur oleh Ibu Pejabat itu, katanya, calon-calon tidak dibenarkan mengadakan pertemuan untuk tujuan berkempen bagi mengelakkan kejadian yang bertentengan dengan kehendak tata etika.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain