suria

MT Umno petang ini dijangka sentuh persediaan pemilihan Mac 2009

PETALING JAYA: Di sebalik persidangan perwakilan yang turut dicemari dengan dakwaan wang politik dan syor debat terbuka, Majlis Tertinggi (MT) Umno bermesyuarat petang ini - dijangka memberi tumpuan khas terhadap persediaan parti menghadapi Perhimpunan Agung Mac depan.

Ahli MT Umno, Datuk Seri Syed hamid Albar berkata, mesyuarat itu juga akan membincangkan tentang perkembangan perjalanan persidangan perwakilan peringkat bahagian.

Setakat ini dua pertiga bahagian telah mengadakan persidangan masing-masing termasuk sayap Pemuda, Wanita dan Puteri.

"Mesyuarat peringkat bahagian akan berakhir 9 November ini. Selepas tarikh itu, kita sudah tahu siapa yang layak untuk bertanding.

"Kemudian kita akan menghadapi pula pemilihan parti dan kita akan membincangkan persediaan-persediaan ke arah itu," katanya ketika dihubungi mStar Online malam tadi.

Syed Hamid berkata, selain itu, kemungkinan beberapa kes disiplin yang telah pun diputuskan Lembaga Disiplin dan kes yang dibawa ke Lembaga Rayuan yang memerlukan keputusan MT akan turut dibincangkan.

Ditanya sama ada mesyuarat MT kali ini akan turut membincangkan tentang peralihan kuasa, Syed Hamid berkata, ia mungkin akan disentuh.

"Ia (peralihan kuasa) mungkin dibincang kerana setiap kali mesyuarat, selepas Presiden bercakap, ahli-ahli kemudiannya (MT) boleh menyuarakan pandangan dan syor-syor mereka.

"Apa-apa pun, masa mesyuarat esok (hari ini) baru kita tahu agendanya," katanya.

Selain itu katanya, isu-isu yang melanda Umno pada masa ini termasuk SMS ugutan kemungkinan akan dibincangkan secara umum.

Ditanya sama ada beliau akan mengutarakan syor beliau sebelum ini berhubung peraturan sejauh mana seseorang calon boleh mengeluarkan perbelanjaan bagi menghadapi pemilihan parti, Syed Hamid berkata, hal itu tidak akan dibangkitkan memandangkan ia memerlukan masa yang lama untuk dilaksanakan kerana ia melibatkan perlembagaan Umno.

"Pada masa ini, kita tidak ada cukup masa untuk membincangkan hal-hal sedemikian kerana ia memerlukan satu mesyuarat khas bagi membincangkannya secara terperinci.

"Selepas dibincang, perkara itu perlu dibawa pula ke Perhimpunan Agung sebelum dibawa kepada pendaftar untuk dipinda (perlembagaan). Itu semua memakan masa yang lama dan bukannya kita boleh tahu keputusannya esok," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain