suria

Kepimpinan Najib diharap sumbang kebebasan media luas

KUALA LUMPUR: Kumpulan The National Alliance of Bloggers (All-Blogs) percaya peralihan kuasa Mac depan, yang bakal menyaksikan kepimpinan Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri keenam, akan membawa kebebasan lebih luas untuk media negara ini.

Presiden Jawatankuasa Penaja All-Blogs, Ahirudin Attan berkata, beliau yakin Perdana Menteri yang baru akan mengambil pendekatan-pendekatan positif ke arah memberikan kebebasan akhbar yang lebih luas.

"Dari segi memberi kebebasan kepada media arus perdana, saya sangat berharap bahawa Perdana Menteri akan datang akan mengambil langkah-langkah positif untuk memberikan kita kebebasan lebih luas.

"Beliau telah menunjukkan sikap bertolak ansur terhadap blog dan internet setakat ini," kata beliau pada Forum Mengenai Trend dan Masa Depan Media Massa Malaysia di Universiti Malaya di sini semalam.

Sambil merujuk kepada kes portal berita Malaysiakini yang menyiarkan berita manifesto, kononnya disediakan oleh Najib menjelang pemilihan Umno tetapi didapati tidak benar, Ahiruddin, pengendali blog yang turut dikenali sebagai Rocky berkata, Najin menerima permohonan maaf dan tidak mengambil apa-apa tindakan ke atas portal berkenaan.

"Meskipun banyak yang telah ditulis mengenai Najib seperti kes Altantuya dan (unsur rasuah dan penyelewengan kaitkan) pembelian Eurocopter, beliau (Najib) tidak mengambil tindakan undang-undang setakat ini, dan saya yakin beliau tidak akan berbuat demikian (pada masa depan)," katanya.

Ekoran penyiaran berita tersebut, pengurusan portal berita berkenaan telah memohon maaf dan ia diterima oleh Najib, yang juga Menteri Kewangan dan Timbalan Presiden Umno.

Di bawah peralihan kuasa Mac 2009, Najib dijadual menggantikan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi sebagai Presiden Umno dan kemudian mengambil alih jawatan Perdana Menteri.

Ahirudin juga tidak menolak kemungkinan perubahan pucuk kepimpinan akan membawa perubahan dalam landskap media arus media khususnya dalam soal barisan kepimpinan pengurusan.

Forum itu dipengerusikan oleh Pengarang Politik akhbar The Sun, Zainon Ahmad.

Turut bertindak sebagai anggota panel perbincangan ialah Ketua Pengarang Kumpulan The Star, Datuk Wong Chun Wai; Ketua Pengarang portal bahasa Inggeris Sin Chew dan Presiden Kesatuan Kebangsaan Wartawan (NUJ) Malaysia, Norila Mohd. Daud.

Zainon berkata, syor Majlis Media Negara, yang masih pada peringkat perancangan, hanya akan menjadi satu lagi lapisan kawalan ke atas kebebasan media negara ini.

Ini kerana kata beliau, majlis tersebut yang pernah disyorkan pada 1973 seharusnya telah dilaksanakan lebih tiga dekad yang lalu.

"Kini kita ada berpuluh-puluh undang-undang yang mengawal selia (secara langsung dan secara tidak langsung) media di negara ini.

"Oleh itu jika ia dilaksanakan sekarang ia akan menjadi satu lagi tahap kawalan," kata beliau yang mempersetujui pandangan Wong bahawa rakyat negara ini kini mula mengharapkan perubahan dengan adanya lebih banyak keterbukaan, yang perlu dilaksanakan dan diinstitusikan.

Wong berkata, keputusan pilihan raya umum ke-12 Mac lalu adalah tanda-tanda ke arah itu.

Semalam, dalam ucapan perasmian, Menteri Penerangan Datuk Ahmad Shabery Cheek berkata, Majlis Media Negara akan menjadi pihak ketiga yang neutral bagi mengawal media dan melindungi orang ramai daripada laporan yang berat sebelah dan tidak bertanggungjawab.

Dalam pada itu, Norila berkata, NUJ tidak menyokong penubuhan Majlis Media Negara atas alasan ia akan menghakis lagi kebebasan media di negara ini.

Sebaliknya, kata beliau, pihaknya mengesyorkan digubal Akta Maklumat bagi menggantikan Mesin Cetak dan Penerbitan, dan Akta Rahsia Rasmi jika mahu Majlis Media Negara dibentuk kelak.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain