suria

Mesyuarat MT Umno esok

PETALING JAYA: Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) Umno yang sebelum ini diuar-uarkan diadakan hari ini sebenarnya telah ditetapkan pada esok.

Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor ketika dihubungi mStar Online semalam berkata, mesyuarat tersebut sememangnya dijadualkan pada esok, jam 3 petang dan bukannya hari ini seperti yang disiarkan media sebelum ini.

"Siapa kata esok (hari ini)? Kamu yang buat spekulasi kata esok (hari ini)" katanya ketika ditanya mengenai kenyataan beberapa pemimpin Umno yang mengatakan mesyuarat MT tersebut akan diadakan pada esok.

Ditanya mengenai perkara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat tersebut, Tengku Adnan enggan mengulas lanjut.

"Saya tak boleh beritahulah. Itu rahsia parti," katanya.

Sementara itu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata, mesyuarat tersebut sememangnya akan diadakan Jumaat ini.

"Kalau ada pemimpin-pemimpin Umno yang mengatakan ia (mesyuarat) akan diadakan esok (hari ini), itu silap sebut sebenarnya," katanya.

Sebelum ini, beberapa pemimpin termasuk Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menyatakan bahawa mesyuarat MT Umno akan diadakan hari ini.

"Kita akan jawab semua soalan ini (berkaitan peralihan tarikh) pada 30 haribulan (Oktober). Buat masa ini, tidak ada sebarang perubahan tarikh yang dibuat," kata Najib pada sidang akhbar ketika ditanya berhubung perubahan tarikh pemilihan Umno selepas menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Kumpulan Felda di sini, Selasa lalu.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain