suria

Debat terbuka Banyak buruk dari baik

KUALA LUMPUR: Naib Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin tidak bersetuju dengan cadangan supaya debat terbuka diadakan bagi semua calon yang bertanding untuk semua jawatan dalam pemilihan parti Mac depan.

Beliau yang juga Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, walaupun terdapat sebilangan pemimpin Umno yang menganggap ia adalah peluang terbaik untuk mengetahui ketokohan dan wawasan calon-calon yang bertanding tetapi katanya, ia sebenarnya mendatangkan banyak keburukan daripada kebaikan.

"Bila ada debat, masing-masing nak bertegang uratlah nak mempertahankankan pendirian masing.

"Nampak mungkin akan berlaku perbezaan (pendapat) yang ketara sedangkan sebenarnya kita sebagai sebuah parti yang sepatutnya mendokong perjuangan yang sama.

"Tapi kerana kita nak dapat populariti dan undi, kadang-kadang kita hanya menyatakan sesuatu hanya untuk orang kata play to the gallery," katanya kepada media selepas menyampaikan ucaptama Simposium Antarabangsa "EAFTA, CEPEA, FTAAP and Beyond", di sini, hari ini.

Muhyiddin berkata, hal ini tidak mendatangkan manfaat kepada parti walaupun ada yang mencadangkan supaya debat tersebut diadakan secara tertutup.

"Walaupun debat itu ada baiknya tapi (jika) dibuat dengan apa cara sekalipun, ia boleh ditafsirkan dan macam-macam perkara boleh terdedah.

"Kalau kata tertutup, tiada benda yang tertutup sekarang ini. Semua orang akan tahu dan ini tidak membantu dari segi soal mengukuhkan Umno," katanya.

Muhyiddin berkata, ahli-ahli Umno sudah pandai menilai calon yang ingin diketengahkan mereka untuk memimpin parti.

"Ahli-ahli parti sudah pandai menilai...bukan sekarang tapi dah lama mereka berjuang dan tahu cara-cara yang diperjuangkan mereka.

"Pemimpin ini apa sumbangan mereka pada parti dan kerajaan. Apa yang mereka lalui dari segi proses mematangkan kualiti mereka dan bagaimana mereka telah menyumbang besar kepada masyarakat dan sebagainya.

"Ini boleh digunakan sebagai pertimbangan," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain