suria

Tidak perlu sekatan Puteri perlu bebas buat pencalonan Shahaniza

PETALING JAYA: Calon Ketua Puteri Umno, Datuk Shahaniza Samsuddin mahu perwakilan Puteri Umno bahagian diberi kebebasan untuk membuat sebarang pencalonan tanpa sebarang sekatan.

"Sepatutnya kita beri peluang kepada Puteri di peringkat bahagian untuk mengemukakan sebarang pencalonan mengikut kemahuan mereka sendiri," katanya kepada mStar Online.

Tambahnya, beliau ada menerima maklumat bahawa wujudnya halangan daripada pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab supaya tidak mencalonkan calon-calon tertentu.

Jelasnya, sesetengah Puteri bahagian diarahkan untuk mencalonkan calon-calon tertentu kerana mempunyai agenda tersembunyi walaupun arahan itu bertentangan dengan kehendak pergerakan Puteri itu di peringkat akar umbi.

"Kadang-kadang pencalonan dibuat sekadar untuk mengambil hati ataupun atas arahan Ketua Bahagian," katanya yang ennggan mendedahkan dengan lebih lanjut mengenai perkara tersebut.

Beliau yang juga merupakan Ketua Penerangan Puteri Umno pusat bagaimanapun berkata, jumlah pencalonan yang banyak bukan kayu pengukur kepada kejayaan seseorang dalam pertandingan bagi merebut jawatan tertinggi sayap Umno itu.

"Bagi saya jumlah pencalonan itu tidak begitu penting, yang penting ialah pada peringkat pemilihan Mac nanti.

"Bagaimanapun saya rasa bersyukur dan berterima kasih kepada bahagian-bahagian yang mencalonkan saya dan saya mempunyai keyakinan seratus peratus untuk bersaing dalam pertandingan ini," katanya.

Setakat ini Shahaniza memperoleh 57 pencalonan iaitu ketinggalan dua pencalonan di belakang Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang kini menerima 59 pencalonan bagi merebut jawatan yang sama.

Menurut beliau, jumlah pencalonan yang diperoleh oleh setiap calon yang menawarkan diri bagi jawatan Ketua Puteri ini adalah isyarat yang diberikan oleh ahli akar umbi yang ingin melihat kepada perubahan.

"Pada saya akar umbi dah berikan isyarat mengenai calon-calon pilihan mereka untuk membawa perubahan dalam Puteri," katanya yang turut mengakui setiap calon yang ingin bertanding mempunyai kelebihan tersendiri.

Ditanya sama ada beliau melihat tujuh calon yang dicalonkan bagi merebut jawatan ini menunjukkan satu persaingan yang sengit, beliau berkata, soal saingan adalah perkara kedua.

"Perkara utama ialah kita perlu melihat kepada signal yang diberikan untuk membawa perubahan yang positif dalam Puteri," katanya.

Lima lagi yang dicalonkan bagi jawatan Ketua Puteri ialah Ismalina Ismail (30), Bibi Sharlizah Mohd. Khalid (22) dan Azlina Mehtab Mohd Ishaq (9).

Bagi Nordiana Shafie dan Ida Rahayu Md Noor yang masing-masing memperoleh satu pencalonan setakat ini, mereka masih memerlukan satu lagi pencalonan untuk melayakkan diri bertanding jawatan tersebut kerana kuota calon yang ingin bertanding jawatan Ketua Puteri ialah dua pencalonan.

Artikel Sebelum

Artikel Lain