suria

Rosnah Saingan bersejarah diharap bebas unsur negatif

PETALING JAYA: Ahli Parlimen Papar, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berharap saingan pemilihan jawatan Ketua Puteri Umno Malaysia Mac depan tidak dicemari dengan gejala tidak sihat seperti politik wang.

"Saya amat berharap supaya imej Puteri dan Umno amnya tidak tercemar dengan perkara-perkara negatif seperti itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagaimanapun menurutnya, hingga kini beliau masih belum menerima sebarang laporan mengenai unsur rasuah ataupun sabotaj kepada calon-calon yang menawarkan diri untuk bertanding.

Rosnah kini memperoleh 59 pencalonan mendahului enam calon lain bagi merebut jawatan Ketua Puteri Umno.

Tambah beliau, saingan yang ramai bagi jawatan tersebut menunjukkan amalan demokrasi masih diteruskan dalam Umno serta perkembangan positif ke arah masa depan sayap Umno itu.

"Agak ramai juga yang bersaing bagi jawatan ini, tapi inilah demokrasi dalam umno yang masih terus dipertahankan," katanya.

Menurut beliau ini adalah kali pertama Puteri Umno berhadapan dengan pemilihan bagi jawatan tertinggi pergerakan tersebut kerana sebelum ini, jawatan Ketua Puteri yang pernah diterajui oleh Datuk Seri Azalina Othman Said dan penyandangnya kini iaitu Datuk Noraini Ahmad menang tanpa bertanding.

"Ini adalah tahun pertama dan pengalaman pertama Puteri memilih ketuanya.

"Jadi kemunculan ramai calon membuktikan Puteri tidak ketandusan pemimpin pelapis yang sentiasa bersedia untuk berkhidmat kepada parti," katanya.

Jelasnya lagi, perubahan ini juga adalah kesan daripada fenomena selepas pilihan raya Mac lalu yang menunjukkan Umno dan keseluruhan sayapnya perlukan perubahan untuk menjadikan parti itu kekal relevan.

Beliau juga menekankan bahawa soal kalah atau menang bukan menjadi agenda utama dalam pemilihan Mac depan.

"Menang atau kalah bukan ukuran, tapi yang penting ialah tujuan untuk teruskan perjuangan parti itu adalah perkara utama," katanya.

Ditanya mengenai persediaannya menghadapi pemilihan Mac nanti, beliau berkata agenda untuk berjumpa perwakilan di peringkat akar umbi sudah lama di laksanakan.

"Saya menemui ahli akar umbi sudah lama, bukan hanya selepas umum untuk bertanding.

"Namun bagi saya berkempen memang amat wajar kerana ia memberi peluang kepada calon untuk jelaskan dan kongsi visi dan misi yang ingin dibawa," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain