suria

Mahkamah tolak permohonan penangguhan roboh rumah penduduk Kg Baru Plentong

JOHOR BAHRU: Mahkamah Tinggi Johor Baharu hari ini menolak permohonan penduduk Kampung Baru Plentong Tengah di sini untuk menangguhkan tindakan meroboh rumah mereka.

Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Hue Siew Kheng dan didengar oleh peguam yang mewakili penduduk itu, Hassan Abdul Karim, serta Pengerusi Jawatankuasa Hak Asasi Manusia Johor, Matthew George, dan peguam pemaju Bukit Lenang Development Sdn Bhd, Matthew Thomas Philip.

Hue bagaimanapun menerima permohonan Hassan supaya membenarkan kerja meroboh rumah penduduk dilakukan dalam tempoh masa sehingga 31 Dis depan, sehingga penempatan transit yang disediakan kerajaan siap.

Hassan, yang ditemui pemberita di luar mahkamah, berkata kebenaran membolehkan 291 rumah itu diroboh dalam tempoh sehingga 31 Disember itu dibuat bagi membolehkan rumah transit yang ditawarkan kepada penduduk oleh agensi perumahan negara dapat disiapkan sebelum penduduk boleh berpindah.

Beliau berkata perkara itu dipersetujui peguam pemaju dengan syarat penduduk membuat akuan janji kepada pemaju bahawa penduduk akan meroboh rumah mereka sendiri dalam tempoh sehingga 31 Disember depan.

Katanya kumpulan pertama membabitkan 16 penduduk hari ini bersetuju dengan syarat berkenaan dan membuat akuan janji di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah untuk direkodkan.

Kampung Baru Plentong Tengah merupakan sebuah perkampungan Melayu di kawasan Pasir Gudang yang mula diteroka pada tahun 1985.

Penduduk dilaporkan enggan berganjak dari tanah yang mereka duduki untuk memberi laluan kepada projek yang hendak dilakukan yang memaksa pemaju membawa perkara tersebut ke mahkamah.

Pemaju menjanjikan kawasan di Bukit Dagang, Ulu Tiram, sebagai penempatan baru penduduk berkenaan dan kerajaan negeri kini menyediakan rumah transit kepada penduduk tersebut sementara menunggu penempatan baru di Bukit Dagang itu siap. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain