suria

Kereta milik penyelia berita RTM yang dilarikan ditemui

IPOH: Kereta milik penyelia Berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak yang dilarikan pencuri selepas rumahnya dipecah masuk awal pagi semalam, ditemui pagi ini.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias berkata kereta itu ditemui di sekitar Taman Silibin di sini pada pukul 6 pagi dan pihak polis kemudiannya terus menghubungi pemilik untuk mengecam kenderaan itu sebelum diserahkan kembali kepadanya.

Beliau berkata anggota peronda yang menjalankan rondaan di kawasan taman itu terserempak dengan suspek yang memandu kereta jenis Perodua Kenari berwarna biru yang dilaporkan dicuri semalam.

"Suspek yang menyedari diekori anggota polis kemudiannya terus berhenti dan meninggalkan kereta tersebut di tepi jalan sebelum menghilangkan diri," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam seorang penyelia Berita RTM, Rosmawati Mat Isa, 44, yang tinggal di Taman Timah, Gunung Rapat dekat sini kerugian RM30,000 selepas rumahnya dimasuki pencuri.

Kejadian disedari ketika anak perempuannya hendak ke bilik air pada 3.30 pagi apabila beliau mendapati semua barang berselerak di bilik tidur dan ruang tamu, manakala pintu dapur serta pintu di ruang tamu terbuka luas.

Azisman berkata polis masih menjalankan siasatan berhubung kejadian itu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain