suria

Empat sekeluarga ditahan dalam kes dadah

KUALA LUMPUR:Sepasang suami isteri bersama dua anak mereka adalah antara enam orang yang diberkas oleh polis berhubung rampasan sejumlah dadah jenis ganja dan syabu dalam serbuan berasingan di Kampung Melayu Subang dan Tapah di Perak pada 18 Oktober lepas.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Zulhasnan Baharuddin berkata dalam serbuan pertama pada 11.45 pagi, polis menahan dua lelaki berusia 47 dan 44 tahun di hadapan sebuah rumah di Kampung Melayu Subang dan menemui 30 ketulan ganja mampat seberat 25.53 kg di dalam sebuah van. "Mereka dipercayai terlibat dalam kegiatan pengedaran dadah malahan salah seorang suspek sebelum ini turut mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan dadah," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Zulhasnan berkata ganja itu dianggarkan bernilai RM66,000 di pasaran gelap dan dipercayai untuk pasaran sekitar Lembah Klang.

Isteri seorang daripada suspek yang berusia 49 tahun dan anak perempuannya yang berusia 14 tahun serta anak lelaki berusia 19 tahun yang berada dalam rumah itu turut ditahan bagi membantu siasatan.

Hasil siasatan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 43 tahun berasal dari Pulau Pinang, yang merupakan rakan suspek, di lebuh raya berdekatan kawasan Rehat dan Rawat Tapah, arah utara pada pukul 1.50 petang.

"Hasil pemeriksaan polis menemui sepucuk pistol serta tujuh butir peluru di dalam keretanya," kata Zulhasnan.

Beliau berkata polis turut merampas dadah jenis syabu seberat 1.9 gram, wang tunai RM11,700 dan sejumlah mata wang asing serta sekeping cek berjumlah RM10,000. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain