Wujudkan peraturan jelas sejauh mana calon boleh berbelanja Syed Hamid - Semasa | mStar

Wujudkan peraturan jelas sejauh mana calon boleh berbelanja Syed Hamid

BAGAN SERAI: Masanya sudah tiba untuk Umno mewujudkan satu peraturan berhubung sejauh mana seseorang calon boleh mengeluarkan perbelanjaan bagi menghadapi pemilihan parti pada masa depan, kata Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar.

Beliau berkata peraturan itu antara lain perlu menyatakan secara jelas apa yang boleh dibelanjakan oleh calon, setakat mana calon boleh berbelanja dan siapa yang menyumbang terhadap perbelanjaan seseorang calon.

"Mengatakan orang tidak boleh belanja pun tidak boleh, mana boleh hidup tidak ada duit. Sekarang segala-galanya memerlukan duit tetapi mesti ada peraturan yang menjelaskan apa yang dianggap sebagai korup, apa yang dianggap sebagai tidak korup," katanya kepada pemberita selepas menghadiri taklimat banjir di Pejabat Penghulu Alor Pongsu dekat sini, Selasa.

Turut hadir Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan, Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Datuk Husin Ismail dan Ketua Polis Perak Datuk Zulkefli Abdullah.

Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi itu berkata kaedah yang diamalkan dalam pemilihan presiden di Amerika Syarikat wajar dijadikan panduan dalam mewujudkan peraturan itu.

Menurut Syed Hamid kempen pemilihan presiden Amerika Syarikat membolehkan seseorang calon membuat kutipan dana politik dan perkara itu menjadi pengetahuan umum dan semua perbelanjaan calon diisytiharkan sehingga tidak ada pihak yang boleh mempertikaikan mengenainya.

"Kita ini kadang-kadang dalam politik negara kita, banyak sumbangan yang diterima (calon) daripada syarikat, individu dan sebagainya. Sukar untuk membezakan mengenai apa yang boleh diterima dan apa yang dianggap rasuah.

"Kalau ada peraturan yang jelas berkenaan benda-benda ini, mungkin ia memudahkan... rakyat pun tahu macam mana, orang yang terlibat pun tahu apa dia boleh buat dan apa yang dia tidak boleh buat," katanya.

Syed Hamid, yang telah melepasi kuota kelayakan pencalonan jawatan Naib Presiden pada pemilihan Umno Mac ini, turut menegaskan sistem di dalam Umno yang tidak lagi sealiran dengan zaman, namun masih lagi diamalkan seperti sistem kuota pencalonan, perlu dihapuskan.

Beliau berkata satu formula baru perlu diperkenalkan bagi menggantikan sistem pengundian melalui perwakilan yang dipilih pada peringkat bahagian ketika ini bagi memastikan lebih banyak suara akar umbi dapat terlibat dalam membuat keputusan di peringkat nasional.

"Banyak pendekatan-pendekatan baru yang perlu kita lihat untuk menentukan kita (Umno) lebih banyak bergerak ke arah apa yang dipanggil 'pembabitan langsung demokrasi' di mana penglibatan akar umbi itu secara lebih menyeluruh dan ini juga akan mengelakkan politik wang," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Berkaitan

Artikel Lain