suria

Tanding Naib Ketua Wanita Umno Kamilia masih belum buat keputusan

PETALING JAYA: Anggota Exco Wanita Pusat, Datuk Kamilia Ibrahim yang layak bertanding jawatan Naib Ketua Wanita Umno masih belum membuat keputusan sama ada akan mencabar atau tidak penyandang jawatan tersebut, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

“Bila tiba masanya saya akan umumkan,”katanya ketika dihubungi mStar Online semalam.

Kamilia yang telah melepasi kuota kelayakan pencalonan berkata, apa yang lebih penting baginya adalah untuk memastikan organisasi Wanita Umno terus sihat, segar dan kukuh.

Beliau yang juga Ketua Wanita Umno Bahagian Kuala Kangsar berkata pemimpin Umno harus melihat kepada suara akar umbi kerana dalam perlembagaan parti membenarkan ahli parti memilih siapa pemimpin yang mereka mahukan.

“Dalam perlembagaan parti telah dinyatakan secara khusus bahawa pada setiap tiga tahun akan ada pemilihan parti di mana anggota akar umbi akan menilai dan menentukan sama ada seseorang pemimpin itu kekal atau sebaliknya,” katanya.

Sehingga jam 6 petang ini Kamilia telah mendapat 44 pencalonan yang melayakkan beliau bertanding jawatan nombor dua Wanita Umno.

Shahrizat yang juga Penasihat Khas kepada Perdana Menteri telah memperoleh 88 pencalonan bagi jawatan yang sama.

Calon-calon lain turut mendapat bagi jawatan tersebut adalah Menteri Pelancongan, Datuk Seri Azalina Othman Said (10) Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique (2), Datuk Dr. Norraesah Mohamad (1),Datuk Maznah Mazlan (1) dan Kamariah Hashim (1)

Artikel Lain