suria

Suami ugut bunuh isteri tak lamar wanita ingin dinikahinya

KUANTAN: Tidak dapat berkahwin lagi, isteri jadi mangsa. Inilah yang berlaku apabila seorang pengawal keselamatan mengugut untuk membunuh isterinya itu kerana dia tidak melamar wanita yang ingin dinikahinya suaminya.

Kejadian dilaporkan berlaku di Pancing dekat sini semalam.

Lebih malang kepada lelaki tersebut, wanita yang hendak dilamar itu telah pun bersuami.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri Pahang, Supt Mohd Haris Daud berkata lelaki tersebut yang juga anggota Rela yang berumur 57 dipercayai marah apabila isterinya yang berumur 60 tahun yang pergi ke rumah nenek wanita berkenaan petang semalam untuk merisik, tidak menyampaikan hasrat suaminya itu.

Ketika pulang ke rumah, suaminya yang mengesyaki dia tidak memaklumkan hasratnya kepada pihak wanita berkenaan, bertindak mengacukan parang ke leher isterinya sambil mengugut untuk menyembelih mangsa dan mahu menembak isterinya dengan senapang patah.

"Mangsa yang ketakutan nekad melarikan diri ke rumah anaknya yang terletak berhampiran sebelum ke Balai Polis untuk membuat laporan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Berikutan itu, polis menahan suami wanita berkenaan atas kesalahan melakukan ugutan jenayah, kata Mohd Haris. BERNAMA

Artikel Lain