suria

Samy Vellu mahu pertahan jawatan Presiden

KUALA LUMPUR: Datuk Seri S. Samy Vellu berkata beliau sudah menetapkan tarikh untuk menyerahkan jawatan Presiden MIC namun akan tetap mempertahankan jawatan itu dalam pemilihan parti Mac depan.

"Saya juga akan pergi. Saya sudah tetapkan masanya," katanya yang telah menerajui MIC selama 29 tahun.

"Ia (tarikh) bukan disesuaikan untuk sesiapa, tapi untuk MIC," jelasnya ketika ditanya mengapa beliau masih ingin menguasai tampuk pemerintahan MIC sedangkan rakan sejawatnya dari parti komponen Barisan Nasional (BN) telah menyerahkan kuasa kepada pengganti mereka.

Menyatakan pendirian akan terus mempertahankan jawatannya pada Mac depan, Samy berkata: "Sesetengah yang mengatakan saya perlu pergi (letak jawatan), hanya berminat untuk musnahkan parti."

Tambah beliau, perlantikannya diadakan secara demokrasi dan berdasarkan proses parti, sebanyak 3,600 cawangan telah memilihnya, bukan perwakilan.

"Dalam pemilihan akan datang, saya akan tetap pergi ke cawangan-cawangan dan jika mereka kata 'tidak', saya akan pulang.

"Jika mereka berkata 'ya' saya akan teruskan (pertahan jawatan)," katanya ketika ditemui di Rumah Terbuka Deepavali MIC di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) semalam.

Ditanya sebab beliau tidak mahu melepaskan jawatannya itu mungkin kerana masih belum mempunyai pengganti, beliau berkata: "Saya mempunyai banyak pengganti.

"Jika hari ini saya meletakkan jawatan, ada yang akan mengambil tempat saya.

"Hanya jika ada pihak di bawah saya yang merasakan saya tidak membuat kerja, maka seseoranag akan mencabar saya dalam pemilihan depan," katanya.

Artikel Lain