suria

Rumah penyelia berita RTM dimasuki pencuri rugi RM30 ribu

IPOH: Seorang penyelia berita Radio Televisyen Malaysia (RTM) Perak kerugian RM30,000 selepas rumahnya di Taman Timah, Gunung Rapat dekat sini dimasuki pencuri awal hari ini.

Rosmawati Mat Isa, 44, berkata kejadian disedari ketika anak perempuannya hendak ke bilik air pada 3.30 pagi dan mendapati semua barang berselerak di bilik tidur dan ruang tamu manakala pintu dapur serta pintu di ruang tamu terbuka luas.

Ketika ditemui di rumahnya, Rosmawati berkata akibat ketakutan, beliau terus menghubungi polis untuk membuat pemeriksaan sama ada pencuri terbabit masih berada di dalam rumah.

Katanya anggota polis yang membuat pemeriksaan mendapati pencuri telah melarikan diri dan beberapa batang besi juga ditemui, dipercayai digunakan suspek untuk mengumpil tingkap dari arah bilik air sebelum masuk ke dalam rumah.

Katanya antara barangan yang dilarikan termasuk wang tunai RM500, sebuah kereta jenis Perodua Kenari, empat buah telefon bimbit dan dua utas jam tangan yang kesemuanya bernilai RM30,000.

Sebelum melarikan diri, pencuri sempat minum sekotak susu dari dalam peti sejuk serta meninggalkan sepasang selipar. Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan. Kejadian itu dipercayai dilakukan oleh lebih dua orang. BERNAMA

Artikel Lain