suria

Puak dalam parti bakal musnahkan Umno Azalina

KAHERAH (MESIRKewujudan "puak-puak" akibat keghairahan calon merebut jawatan dalam Umno boleh menyebabkan kehancuran kepada parti itu, kata anggota Majlis Tertinggi Umno Datuk Seri Azalina Othman Said.

Ketika melahirkan kebimbangan itu, Azalina berkata kempen merebut jawatan dalam parti itu sejak kebelakangan ini seolah-olah telah mewujudkan "puak-puak" untuk meraih sokongan.

"Sekarang kononnya wujud team A, B dan C di dalam pemilihan Umno dan ini adalah perkembangan yang tidak sihat dan akan menyebabkan perpecahan dalam parti serta akan membawa kepada kehancuran Umno," kata Azalina yang juga Menteri Pelancongan Malaysia.

Azalina, yang kini dalam misi mempromosi pelancongan negara di Mesir, turut mengingatkan anggota Umno agar memilih pemimpin berdasarkan keupayaan untuk memperkukuhkan parti terutama bagi menghadapi pilihan raya umum akan datang.

"Tidak ada gunanya jika dipilih menjadi pemimpin tetapi disebabkan oleh perbalahan ini akan menyebabkan Umno menjadi parti pembangkang," katanya kepada pemberita Malaysia di sini.

Azalina yakin calon presiden Umno, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak tidak terlibat dengan mana-mana puak.

"Sesiapa yang mendakwa diri mereka tergolong dalam puak-puak tertentu dan menerima sokongan daripada pemimpin tertentu adalah individu yang cetek dan hanya mengejar jawatan serta menggunakannya sebagai satu strategi politik untuk kepentingan diri sendiri," katanya.

Mengenai dakwaan beliau dikaitkan sebagai "orang Pak Lah", Azalina berkata beliau seorang yang setia kepada presiden parti dan bukan individu.

"Saya setia kepada presiden dan bukan kepada seseorang individu. Saya setia kepada Tun Dr Mahathir Mohamad ketika beliau menjadi presiden dan kepada Abdullah.

"Selepas Najib dipilih menjadi presiden, kesetiaan saya akan ditumpukan kepada beliau sebagai presiden parti," katanya.

Mengenai pencalonan beliau sebagai Naib Ketua Wanita Umno, Azalina berkata, beliau sedia bertanding jawatan itu jika mendapat pencalonan yang mencukupi.

Azalina kini menerima 10 pencalonan bagi jawatan Naib Ketua Wanita Umno. Kelayakan bertanding jawatan itu ialah 29 pencalonan.

Ditanya sama ada beliau sanggup bekerjasama dengan Ketua Wanita Umno, Tan Sri Rafidah Aziz, Azalina berkata beliau boleh bekerja dengan sesiapa sahaja.

"Saya telah berkerjasama dengan Rafidah sejak 2004 begitu juga dengan Shahrizat. Soalan sama ada saya boleh atau tidak bekerjasama, tidak timbul," katanya.

Beliau turut menggesa Pergerakan Wanita Umno menerima bekas anggota Puteri Umno ke dalam Wanita Umno sepertimana Pemuda diterima masuk ke dalam Umno.

"Jangan anggap Puteri Umno sebagai isteri kedua ataupun anak tiri sebaliknya Puteri merupakan anak bongsu yang mampu menguatkan Umno," katanya. BERNAMA

Artikel Lain