suria

Penjenamaan semula MIC Kedah membuahkan hasil ketara

SUNGAI PETANI: Penjenamaan semula MIC Kedah bagi memulih kekuatannya serta menarik golongan muda menyertai parti itu, berjaya membuahkan hasil yang dicita, dengan penubuhan 120 cawangan baru sejak April lepas.

Pengerusi MIC Kedah Datuk V. Saravanan berkata seluruh kepimpinan parti mengambil tanggungjawab terhadap kekalahan di kedua-dua kerusi Dewan Undangan Negeri kawasan Lunas dan Bukit Selambau yang diperuntukan Barisan Nasional (BN) kepadanya pada pilihan raya lepas.

Beliau berkata kini hasil kesungguhan dan kegigihan pihaknya menyelesaikan masalah masyarakat India dapat dilihat menerusi penyertaan 6,000 anggota baru dalam 120 cawangan itu.

Katanya keanggotaan baru itu menjadikan jumlah anggota MIC di 300 cawangan di Kedah ketika ini berjumlah 40,000 orang.

"Selepas tewas pada pilihan raya umum 8 Mac lepas, kami berusaha gigih untuk memulihkan kepercayaan kira-kira 300,000 penduduk dari kalangan masyarakat India di Kedah, supaya mereka terus menyokong BN," katanya kepada Bernama di sini hari ini.

Beliau berkata penjenamaan semula MIC membabitkan penyusunan semula parti itu di peringkat negeri, bahagian dan cawangan, termasuk Putera dan Puterinya bagi memberi ruang kepada mereka menyuarakan sebarang isu.

Katanya antara masalah yang membelenggu masyarakat India yang menjadi agenda utama parti ialah pengangguran di 86 ladang di Kedah akibat kemasukan ramai pekerja asing, peluang pekerjaan dengan kerajaan dan pendidikan.

Mengenai pemilihan MIC kebangsaan tahun depan, Saravanan, 62, berkata beliau sedia menggalas tanggungjawab selagi dikehendaki oleh pucuk pimpinan parti.

"Saya mengetuai MIC Kedah selaku pengerusi selama 20 tahun dan yakin mampu menyumbang untuk membantu BN merampas kembali negeri Kedah dari Pakatan Rakyat," katanya.

Sementara itu Timbalan pengerusi MIC Kedah, Datuk S. Ganeson, 49, yang turut serta dalam temu bual, juga menyuarakan kesediaannya untuk meneruskan khidmatnya selagi diperlukan. "Sejak dilantik timbalan pengerusi pada 2003, saya sentiasa bekerjasama dengan pucuk pimpinan menyelesaikan sebarang masalah, selain memahami hasrat masyarakat India terutama golongan muda," katanya.

Bekas ADUN Lunas (2004-2008) itu berkata masyarakat India mula menyedari kesilapan mereka pada pilihan raya lepas kerana terpengaruh dengan isu yang dimainkan pelampau dari kalangan mereka terutama kumpulan Hindu Rights Action Force (HINDRAF).

Ganeson dan Saravanan adalah dua wakil Kedah yang menganggotai Jawatankuasa Kerja Pusat (CWC) MIC. BERNAMA

Artikel Lain