suria

Parti Pesaka Bumiputera Bersatu nafi tuduhan buli PRS

KUCHING: Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) menafikan tuduhan yang parti itu suka membuli parti komponen Barisan Nasional (BN) yang kecil di negeri ini.

Timbalan Presiden PBB, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg yang menegaskan tuduhan itu tidak berasas berkata, PBB sentiasa membantu parti komponen BN negeri yang menghadapi masalah.

"Jika parti lain hadapi masalah, kami akan bantu parti itu. Jika kami tidak bantu mereka, dengan itu seluruh parti komponen BN akan terjejas. Inilah semangat BN . Tidak timbul soal membuli," katanya kepada pemberita selepas melawat PPR Taman Sepakat Jaya di Demak Laut, dekat sini hari ini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Publisiti Parti Rakyat Sarawak (PRS) Baleh, Beginda Minda yang disiarkan oleh Malaysiakini pada Sabtu lepas yang mendakwa PRS sebagai sebuah parti kecil "telah dibuli oleh kepimpinan Barisan Nasional (BN) negeri".

Johari yang juga Menteri Perumahan negeri berkata, ketika PRS mengalami masalah dalaman, PBB sebagai parti tulang belakang BN negeri telah banyak membantu mengelakkan perpecahan yang serius dalam parti itu dan tidak pernah mengambil kesempatan terhadap situasi itu.

"Jangan macam burung tiong, terikut-ikut dengan cakap-cakap orang bahawa ada parti buli parti lain," katanya sambil menambah di peringkat nasional, Umno pernah membantu MCA dalam menyelesaikan krisis kepimpinan pada tahun 80an dan tidak pernah membuli MCA seperti didakwa.

Beliau berkata, ketika MCA dibelenggu krisis dalaman, bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Ghafar Baba turut bertindak sebagai orang tengah untuk membantu MCA dalam menyelesaikan krisis pimpinan pada tahun 1984 hingga 1985 (selama 14 bulan).

"Tun Ghafar turut bertindak sebagai 'presiden sementara' MCA. Ini bukan membuli," katanya.

Presiden Parti Bersatu Rakyat Sarawak (SUPP), Tan Sri Dr George Chan turut menyangkal yang PBB membuli parti komponen BN yang lebih kecil.

"Tidak, parti saya tidak pernah dibuli," katanya dan menurutnya PBB dilihat sebagai parti yang lebih dominan kerana ia mempunyai lebih banyak anggota berbanding parti lain.

Sementara itu, Presiden PRS, Datuk Seri Dr James Jemut Masing dipetik oleh akhbar tempatan hari ini sebagai berkata kenyataan Beginda itu bukan pendirian parti dan bagi mengelakkan hubungan antara parti komponen terjejas, beliau akan mengeluarkan perintah melarang semua anggota parti daripada mengeluarkan kenyataan. BERNAMA

Artikel Lain