suria

Noor Fadilah kembali ke pangkuan keluarga

NUSA TENGGARA BARAT: Selepas 54 hari terpisah, Noor Fadilah Ahmad akhirnya disatukan kembali dengan ibu bapanya dalam pertemuan penuh emosi di sini hari ini.

Pejabat Imigresen Daerah Mataram yang selalunya sibuk bertukar hiba apabila Noor Fadilah menyedari kehadiran ibu bapanya, Ahmad Abdul Hamid, 46, dan Masitah Abdullah, 42, yang dibawa ke sini oleh Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno semalam.

Dalam pertemuan pukul 1.45 petang itu, Noor Fadilah terus menerpa dan memeluk bapanya, Ahmad dengan tujuan menghalang beliau daripada mencari Nasrudin Dahrom, pemuda Lombok Timur yang bertanggungjawab membawa Noor Fadilah ke sini.

Suasana tegang bertukar penuh emosi apabila Masitah keluar dari kereta dan terus memeluk anak sulung kesayangannya sambil menangis, disaksikan lebih 50 orang termasuk Pengerusi Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim. "Tak sayang mama ke?" tanya Masitah kepada anaknya yang menangis teresak-esak dan sesekali kedengaran Noor Fadilah yang baru berusia 18 tahun itu berkata "sayang" sambil memohon maaf berkali-kali.

Pertemuan penuh emosi itu berlanjutan hampir 10 minit sebelum mereka memasuki Pejabat Imigresen bagi menyelesaikan masalah dokumen perjalanan Noor Fadilah yang masuk ke Lombok secara haram sejak 6 September lepas.

Noor Fadilah yang berasal dari Bagan Serai, Perak, mengikut Nasrudin ke Lombok pada 3 Sept lepas (dari Malaysia) tanpa keizinan kedua ibu bapanya yang tidak merestui hubungan cinta pasangan itu.

Pasangan itu dikatakan berkahwin di Batu Belik, Aimal, Lombok Timur, 11 Okt lepas dan ia ditentang keras bapa Noor Fadilah selaku wali yang sah.

"Ini sudah jodoh dan takdir kami. Saya akan minta maaf kepada bapa Fadilah. Kalau perlu saya akan cium kakinya," kata Nasrudin ketika ditemui pemberita di luar perkarangan Pejabat Imigresen Mataram.

Pada 4 September lalu, Ahmad membuat laporan polis dan meminta manamana pihak membantunya membawa pulang Noor Fadilah dan rayuannya itu mendapat perhatian Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno.

Mengikut undang-undang Indonesia, seseorang individu yang masuk secara tidak sah ke negara itu boleh dikenakan hukuman penjara enam tahun atau denda 30 juta rupiah.

Namun hasil rundingan antara Sekretariat Pembelaan Masyarakat Pemuda Umno yang diwakili Abdul Azeez dan Kepala Seksyen Pengawasan dan Penindakan Imigresen Daerah Mataram, M.Adnan, Noor Fadilah dibenar pulang tanpa dikenakan hukuman.

"Apa yang penting semua pihak perlu belajar daripada perkara itu supaya tidak berulang. Ini adalah usaha kecil sekretariat untuk membantu masyarakat," katanya yang berpuas hati misi membawa pulang Noor Fadilah berjalan lancar dengan bantuan semua pihak termasuk Imigresen dan polis tempatan.

Sebelum itu, Abdul Azeez yang dikerumuni orang ramai termasuk anggota keluarga Nasrudin menasihatkan pemuda berasal dari Lombok Timur itu menyelesaikan perkara itu mengikut undang-undang dan adat budaya Melayu.

"Jangan pisahkan mereka, saya bisa stress" kata ibu Nasrudin, Rumini, 55, yang mahu perkara itu selesaikan secara baik selepas Noor Fadilah ditahan Imigresen Mataram sejak 16 Oktober lalu.

Nasrudin yang dibenar berjumpa ibu Noor Fadilah di Lapangan Terbang Silaparang, Mataram, berkali-kali meminta maaf kepada Masitah atas tindakan mereka berdua itu.

Rombongan Sekretariat yang membawa pulang Noor Fadilah dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada pukul 11.30 malam ini. BERNAMA

Artikel Lain