suria

Majlis Peguam gesa kerajaan bantu kes pro bono jenayah

KUALA LUMPUR: Presiden Majlis Peguam Malaysia Datuk Ambiga Sreenavasan menggesa kerajaan membantu membiayai kes pro bono jenayah kerana terdapat terlalu banyak kes yang perlu dikendalikan oleh pusat bantuan guaman Majlis Peguam.

Ambiga berkata sejak tahun lepas, Majlis Peguam mempunyai kira-kira 18,000 kes (kebanyakannya jenayah) untuk dikendalikan oleh peguamnya atas dasar sukarela dan kini mereka dibebani dengan jumlah kes yang banyak.

"Setiap kerajaan negeri mempunyai biro bantuan guaman tetapi mereka tidak mengendalikan kes jenayah. Peguam sukarela kami mengambil sebanyak kes yang mereka mampu tetapi jumlahnya adalah terlalu banyak," kata Ambiga kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan alu-aluan pada persidangan "Access to Justice and the Role of Bar Associations and Law Societies in Asia Conference" di sini hari ini.

Katanya adalah lebih baik bagi Majlis Peguam untuk bekerjasama dengan biro biayaan kerajaan negeri untuk membantu mereka yang sedang dibicarakan kerana ia akan dapat membantu peguam Majlis Peguam yang amat memerlukan dana itu.

"Pusat bantuan guaman kami adalah secara sukarela. Untuk makluman anda, jika terdapat terlalu banyak kerja untuk dikendalikan oleh pertubuhan sukarela, kami mungkin tidak terdaya melakukannya. Kami amat memerlukan bantuan kerajaan dalam perkara ini," katanya. BERNAMA

Artikel Lain