suria

Ka Chuan serah masa depan politiknya kepada Tee Keat

KANGAR: Bekas Setiausaha Agung MCA yang juga Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Datuk Seri Ong Ka Chuan menyerahkan kepada Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat untuk menentukan masa depan politiknya.

Katanya beliau akan mematuhi apa sahaja keputusan parti termasuk kedudukannya dalam Kabinet.

"Saya akan terima apa sahaja keputusan demi kebaikan parti dan jawatan saya dalam Kabinet terserah juga kepada pucuk pimpinan parti, (Datuk Seri) Ong Tee Keat yang akan menentukan," katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek krematorium (tempat pembakaran mayat) di Jejawi dekat sini hari ini.

Pada pemilihan MCA 18 Okt lepas, Ka Chuan tewas kepada bekas Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden parti.

Berdasarkan amalan parti itu, selalunya hanya presiden, timbalan presiden, setiausaha agung dan satu atau dua daripada empat naib presiden MCA disyor menyandang jawatan menteri dalam kerajaan Barisan Nasional (BN).

Mengenai projek krematorium itu, beliau menyifatkan tapak cadangan projek itu bersesuaian kerana ia tidak mendatangkan pencemaran terhadap penduduk setempat serta berada di kawasan wat (kuil).

Pembinaan krematorium bernilai RM400,000 yang dijadual bermula awal tahun depan itu adalah yang pertama di Perlis untuk kemudahan pembakaran mayat yang sebelum ini dilakukan di Padang Sera, Kedah.

"Ia mendatangkan kesukaran terhadap penduduk yang beragama Buddha serta lain-lain bangsa yang menjalankan upacara pembakaran mayat kerana terpaksa menguruskannya di Kedah," katanya.

Turut hadir pada majlis itu ialah Presiden Persatuan Siam Malaysia (PSM) Senator Siw Chun a/p Eam. BERNAMA

Artikel Lain