suria

Najib ungguli pencalonan Presiden Umno Muhyiddin dan Muhd Taib tambah 2 lagi

KUALA LUMPUR: Persidangan perwakilan Umno yang berlangsung sehingga 6 petang ini menunjukkan sokongan tidak berbelah bagi kepada Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai calon presiden Umno apabila beliau menyapu bersih 102 pencalonan sehingga kini.

Najib menerima pencalonan terbaru daripada Jeli, Maran, Kota Tinggi dan Penampang. Bagi jawatan timbalan presiden Umno, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri

Tan Sri Muhyiddin Yassin mengutip dua lagi pencalonan iaitu daripada Jeli dan Maran untuk mara dengan jumlah 65 pencalonan.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Tan Sri Muhammad Muhamad Taib juga meraih dua pencalonan baru daripada Kota Tinggi dan Penampang, menjadikan keseluruhan pencalonannya 15 manakala Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam masih kekal dengan 22 pencalonan.

Lima calon Naib Presiden yang telah layak bertanding iaitu Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Datuk Seri Syed Hamid Albar terus menjadi pilihan pencalonan.

Hishammuddin mendapat tiga pencalonan hari ini daripada Jeli, Maran dan Penampang menjadikan jumlah pencalonannya sebanyak 85, Zahid menerima pencalonan daripada Jeli, Maran dan Kota Tinggi (62), Mohamed Khaled menerima pencalonan daripada Jeli (50), Mohd Shafie pencalonan daripada Jeli (45) dan Syed Hamid dua pencalonan Kota Tinggi dan Penampang (22).

Pemimpin lain yang telah mendapat pencalonan bagi jawatan Naib Presiden ialah Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dengan mengumpul lapan pencalonan, Datuk Seri Dr Rais Yatim (8), Datuk Seri Dr Rais Yatim(8), Datuk Seri Shahidan Kassim (6), Tan Sri Rahim Thamby Chik (enam), Datuk Seri Mohamad Hasan (tiga), Datuk Seri Musa Aman (2), Tan Sri Annuar Musa (1) dan Datuk Seri Mohd Ali Rustam (1).

Naib Ketua Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil masih terus menerima pencalonan untuk jawatan Ketua Wanita Umno apabila Pergerakan Wanita Umno Bahagian Kuala Pilah yang mengadakan persidangannya hari ini mencalonkan beliau.

Shahrizat, yang sehingga kini masih tidak menyatakan pendirian sama ada untuk bertanding ke jawatan itu walaupun telah layak bertanding, mengumpulkan 56 pencalonan.

Penyandang jawatan Ketua Wanita Umno Tan Sri Rafidah Aziz masih mendahului dengan mengumpul 94 pencalonan.

Wanita Umno Kuala Pilah juga mencalonkan Exco Wanita Pusat Datuk Kamilia Ibrahim sebagai Naib Ketua Wanita, menjadikan keseluruhannya 41 pencalonan.

Pemimpin lain yang dicalonkan bagi jawatan Naib Ketua Wanita Umno ialah Shahrizat dengan 92 pencalonan, Ketua Umno Bahagian Pengerang Datuk Seri Azalina Othman Said (10), Ketua Wanita Umno Johor Datuk Halimah Sadique (dua), Exco Wanita Datuk Dr Norraesah Mohamad (satu) dan Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar Datuk Maznah Mazlan (satu).

Naib Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menerima satu lagi pencalonan hari ini iaitu daripada Kepala Batas, menjadikan jumlah keseluruhan pencalonan yang diperolehnya ialah 45.

Sementara itu, Anggota Parlimen Jerlun yang juga Exco Pemuda Umno Datuk Mukhriz Tun Mahathir setakat ini masih kekal dengan 66 pencalonan manakala bekas Menteri Besar Selangor Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo pula memperoleh 47 pencalonan.

Sebanyak 159 daripada 191 Pemuda bahagian telah mengadakan persidangan perwakilan masing-masing sejak 9 Okt lepas.

Bagi jawatan Naib Ketua Pemuda Umno pula, Anggota Parlimen Muar Datuk Razali Ibrahim masih mengungguli persaingan dengan memperoleh 79 pencalonan setakat ini manakala pesaingnya iaitu Exco Pemuda Umno Datuk Reezal Merican Naina Merican pula memperoleh 66 pencalonan.

Calon lain untuk jawatan naib Ketua Pemuda Umno ialah Ketua Pemuda Umno Bahagian Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat (3), manakala Ketua Pemuda Umno bahagian Bagan Marzuki Yahaya, Ketua Pemuda Umno bahagian Subang Megat Firdaus Megat Junid, Khairy dan Ketua Pemuda Umno bahagian Kapar Faizal Abdullah, masing-masing masih dengan satu pencalonan. BERNAMA

Artikel Lain