suria

Khairy Debat terbuka bukan untuk bercakaran

KUALA LUMPUR: Calon Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin menegaskan debat terbuka yang dicadangkannya bagi calon-calon yang bertanding merebut jawatan ketua pergerakan itu bukan bermaksud untuk bercakaran tetapi bagi menjelaskan prinsip perjuangan masing-masing.

Katanya debat tersebut akan dijalankan dengan tanggungjawab dan tertib.

Khairy turut mengucapkan terima kasih kepada seorang lagi calon bagi jawatan itu, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo kerana telah menyahut cabaran beliau untuk berdebat secara terbuka.

"Debat akan dijalankan secara gentleman, saya cuma minta diberitahu tempat, masa dan tarikh, saya akan datang," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Rumah Terbuka MIC sempena sambutan Hari Deepavali di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut keengganan seorang lagi calon, Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir untuk terlibat di dalam debat terbuka tersebut.

Ketika ditanya mengenai harapan beliau untuk memenangi jawatan Ketua Pemuda Umno pada pemilihan parti Mac depan, Khairy yakin peluang untuknya memenangi jawatan itu adalah cerah.

"Peluangnya adalah okay dan kita lihat apakah keputusannya nanti, saya akan berkempen dengan sebaik mungkin," katanya.

Semalam, Dr Mohamad Khir menyahut cabaran Khairy yang mengajak calon-calon Ketua Pemuda supaya berdebat bagi menjelaskan pendirian dan pelan masing-masing.

Bagaimanapun Mukhriz tidak bersetuju dengan cadangan itu menyatakan soal pemilihan parti merupakan hak ehwal dalaman Umno dan tidak wajar dilakukan secara terbuka. BERNAMA

Artikel Lain