suria

Deepavali disambut meriah dalam kesederhanaan

KUALA LUMPUR: Masyarakat India seluruh negara hari ini meraikan Deepavali dalam suasana sederhana tetapi meriah ketika Hari Raya Aidilfitri hampir ke penghujungnya dengan mengekalkan semangat muhibah menerusi amalan tradisi rumah terbuka.

Dengan cuaca baik di kebanyakan tempat, penganut Hindu yang mengenakan pakaian baru memulakan hari mereka dengan bersembahyang di kuil.

Ia diikuti dengan mengunjungi rumah terbuka, yang sudah menjadi amalan masyarakat berbilang kaum di negara ini setiap kali perayaan utama.

MIC, satu daripada parti komponen Barisan Nasional (BN), mengadakan rumah terbukanya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 10 pagi sehingga 1 tengah hari ini.

Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi adalah antara tetamu yang hadir ke majlis itu.

Turut hadir ke rumah terbuka MIC itu ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan menteri-menteri kabinet.

Turut mengadakan rumah terbuka Deepavali hari ini ialah Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Malaysia di Bangunan Peladang, Jalan Klang Lama, Petaling Jaya.

Di Melaka, keadaan cuaca yang cerah membolehkan penganut Hindu menziarahi sanak saudara serta rakan taulan bagi memeriahkan lagi sambutan Deepavali.

Pengerusi MIC Melaka Datuk R.Ragavan mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Taman Maju Jasin manakala Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Pengguna dan Pengangkutan Negeri R.Perumal di rumahnya di Kampung Baru, Selandar.

Rumah terbuka perayaan Deepavali peringkat negeri Melaka akan diadakan di Padang Nyiru pada 1 Nov, yang akan turut dimeriahkan dengan persembahan kebudayaan peserta dari India.

Di Kota Bharu, Pengerusi MIC Kelantan M. Kuppusamy berkata sambutan Deepavali tahun ini disambut sederhana dengan beberapa program keagamaan diatur.

Lebih 300 hamper telah diagih-agihkan kepada masyarakat India yang kurang berkemampuan di Kuala Krai semalam, katanya.

Cuti umum hari ini juga memberi peluang kepada pelancong yang datang ke Kelantan untuk membelibelah di tiga lokasi tumpuan iaitu di Zon Bebas Cukai Rantau Panjang, Pengkalan Kubor dan Bukit Bunga.

Di Kota Kinabalu, Pengerusi Perhubungan MIC Negeri Datuk V. Jothi mengadakan rumah terbuka di Dewan Serbaguna Kompleks Sukan Likas dekat sini.

Antara orang kenamaan yang hadir ialah Yang Dipertua Negeri Tun Ahmadshah Abdullah dan Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.

Turut hadir ialah anggota kabinet negeri Sabah, Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Yong Teck Lee and pemimpin-pemimpin masyarakat.

Di Alor Star, Deepavali disambut sederhana di negeri itu ketika tujuh daerah dilanda banjir.

Dalam keadaan cuaca redup di kebanyakan kawasan, orang ramai mengunjungi rumah terbuka anjuran beberapa pemimpin utama di negeri itu.

Pengerusi MIC Kedah Datuk V. Saravanan mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Taman Patani Jaya di Sungai Petani manakala Timbalan Pengerusi MIC Datuk S. Ganesan di rumahnya di Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Hal Ehwal Masyarakat Siam, Cina dan Pekerja Ladang V. Arumugam turut mengadakan rumah terbuka di kediamannya di Kelab Cinta Sayang.

Menteri Besar Kedah Datuk Seri Azizan Abdul Razak adalah antara tetamu yang mengunjungi rumah Arumugam.

Di Pulau Pinang, perayaan Deepavali disambut secara sederhana dengan kebanyakan masyarakat India mengambil kesempatan mengunjungi kuil untuk memohon keberkatan.

Antara kuil yang menjadi tumpuan utama ratusan penganut Hindu di negeri ini ialah Kuil Balathandayuthabani di Jalan Kebun Bunga di sini.

Selepas ke kuil, penganut agama Hindu akan memohon restu ibu bapa dan keluarga sebelum menerima kunjungan sahabat handai dan saudara mara. BERNAMA

Artikel Lain