suria

Polis tembak mati penyamun cuba serang wanita dengan pisau

JOHOR BAHARU: Polis menembak mati seorang penyamun di sebuah rumah di Bandar Seri Alam di sini, semasa beliau cuba menyerang seorang wanita dengan sebilah pisau, awal pagi ini.

Timbalan Ketua Polis Johor Datuk Tun Hisan Tun Hamzah berkata Lim Chee Hiong, 31, ditembak oleh seorang anggota pencegahan jenayah berpangkat sarjan ketika dia cuba menyerang seorang wanita berumur 49 tahun itu dengan sebilah pisau berukuran 20.34cm pada kira-kira pukul 4.45 pagi.

Beliau berkata lelaki dari Taman Megah Ria, Masai, yang didapati mempunyai dua rekod lampau di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja mendatangkan kecederaan menggunakan senjata itu mati di tempat kejadian.

Menurutnya kejadian bermula dengan lelaki itu menyamun seorang tukang masak lelaki berumur 23 tahun bersama teman wanitanya berusia 29 tahun yang juga seorang tukang masak, di hadapan restoran tempat mereka bekerja kira-kira 200 meter dari rumah itu.

Tun Hisan berkata oleh kerana tidak berpuas hati apabila memperolehi hanya RM50, lelaki berkenaan mengikuti pasangan itu kembali ke rumah mereka, di mana seorang lagi wanita rakan mereka tinggal.

Beliau berkata semasa di rumah dua tingkat berkenaan, lelaki itu menggeledah bilik wanita tersebut dan menjumpai sejumlah wang tunai dalam pelbagai matawang asing, sebelum beliau bertindak lebih agresif menikam tapak kaki dan tangan wanita itu.

"Polis terpaksa melepaskan tembakan apabila lelaki itu cuba menyerang lagi wanita yang terlantar di atas katil selepas ditikam itu," katanya.

Tun Hisan berkata wanita yang cedera itu dimasukkan ke Hospital Sultan Ismail untuk rawatan.

Katanya polis menjumpai beg plastik yang mengandungi satu unit pemain CD, satu bentuk cincin emas, wang tunai RM409, SIN$68, Brunei$26, USD12, Papua New Guinea$10, AUD5 dan Rupiah 100,000 milik lelaki itu. BERNAMA

Artikel Lain