suria

Kerani mengaku bersalah buang mayat anak baru dilahirkan

KUALA TERENGGANU: Seorang kerani mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini, atas pertuduhan membuang mayat bayi lelakinya yang baru dilahirkan secara rahsia di Masjid Tengku Tengah Zaharah di sini, kira-kira dua minggu lepas.

Bagaimanapun, Sabariah Yatim, 21, dari Kampung Lubuk Kawah, Jertih, Besut, mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan terhadap tuduhan sengaja menyebabkan kematian anaknya itu.

Sabariah kelihatan tenang ketika keduadua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Mohammad Khalid Ab. Karim.

Mohammad Khalid kemudian menetapkan wang jaminan sebanyak RM7,000 dengan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan pertama, Sabariah didakwa sengaja menyebabkan kematian anaknya yang baru dilahirkan antara kira-kira pukul 9 malam pada 10 Okt dan 6.15 pagi 11 Okt bertempat di Masjid Tengku Tengah Zaharah.

Dia didakwa mengikut Seksyen 309A Kanun Keseksaan dan boleh dihukum mengikut Seksyen 309B akta sama, yang membawa hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda.

Sabariah juga didakwa mengikut pertuduhan pilihan bahawa secara rahsia membuang mayat bayinya sama ada mati sebelum atau selepas atau semasa dilahirkan dengan sengaja menyembunyikan kelahiran tersebut.

Bagi pertuduhan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah kemudian menetapkan tarikh perbicaraan pada 19 Jan tahun depan.

Pendakwaan dijalankan oleh Penolong Pendakwa Raya Amer Abu Bakar manakala peguam Zikri Jusoh mewakili Sabariah. BERNAMA

Artikel Lain