suria

Tarif elektrik tidak akan dikurangkan walaupun harga minyak sudah turun

TAMPIN: Tarif elektrik tidak dapat dikurangkan lagi walaupun harga minyak di pasaran antarabangsa sudah turun, kata Menteri Tenaga, Air dan Komunikasi Datuk Shaziman Abu Mansur.

Katanya penurunan harga minyak serendah AS$60 satu tong tidak ada kaitan dengan senario bekalan tenaga elektrik di negara ini memandangkan kesemua stesen janakuasa elektrik tempatan menggunakan sumber gas, arang batu, hidro atau sumber tenaga yang lain.

Stesen janakuasa elektrik negara ini menggunakan sumber gas sebanyak 60 peratus, 30 peratus arang batu dan bakinya daripada sumber tenaga lain, katanya.

"Lagi pun, tarif elektrik di negara ini masih lagi murah malah di bawah kos pengeluaran tenaga itu," katanya kepada pemberita semasa majlis hari raya kawasan Parlimen Tampin di sini hari ini.

Beliau yang juga anggota Parlimen Tampin berkata walaupun harga gas pada pasaran Malaysia masih rendah tetapi harga arang batu pada pasaran antarabangsa tidak stabil.

Oleh kerana elemen-elemen harga pada gas dan arang batu, Malaysia terpaksa menyemak harga tarif elektriknya pada setiap tahun terutama pada bulan Julai, katanya lagi.

Shaziman berkata beliau hanya boleh berjanji bahawa pada tahun ini tidak akan berlaku kenaikan tarif elektrik sehinggalah bulan Julai tahun depan.

Di bawah tarif baru bermula Julai lepas, Tenaga Nasional Berhad menetapkan tarif bagi kediaman sebanyak 21.8 sen untuk satu kilowatt jam (kWj) bagi penggunaan 200 kWj pertama sebulan manakala 34.5 sen bagi penggunaan unit seterusnya dan pelaksanaan tarif baru itu tidak menjejaskan pengguna yang menggunakan kurang daripada 200 kWj sebulan dengan anggaran bil elektrik kurang daripada RM43.60. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain