suria

Syed Hamid sifatkan pertikaian statusnya ahli dua cawangan sebagai fitnah

KOTA TINGGI: Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi Datuk Seri Syed Hamid Albar hari ini berkata tindakan pihak tertentu yang mengatakan statusnya sebagai ahli dua cawangan di bahagian berkenaan adalah satu fitnah serta jelas mahu memecah belahkan bahagian itu.

Menteri Dalam Negeri itu berkata beliau kini adalah ahli di Cawangan Kampung Sungai Sembilang dan status itu telah mendapat pengesahan daripada Ibu Pejabat Umno.

"Orang kata saya ada dua cawangan itu adalah satu fitnah. Itu menunjukkan orang itu patut dikenakan tindakan. Dia tabur surat fitnah ke satu negara sedangkan Ibu Pejabat Umno sudah mengesahkan saya ahli dalam Cawangan Kampung Sungai Sembilang," katanya kepada pemberita selepas majlis Mesra Aidilfitri Agensi Anti Dadah Kota Tinggi di sini.

Semalam seramai 60 orang ketua dan ahli jawatankuasa Umno cawangan dalam bahagian Kota Tinggi yang merupakan perwakilan ke mesyuarat bahagian Isnin ini menghantar bantahan kepada Perhubungan Negeri dengan mendakwa Syed Hamid mengamalkan politik wang dan telah melakukan perkara yang ditegah Perlembagaan Umno iaitu memegang jawatan Umno dalam dua cawangan berbeza pada tahun yang sama, tahun lepas.

Menurut mereka pada 22 Julai tahun lalu, Syed Hamid memegang jawatan Ketua Umno Bahagian Kota Tinggi kerana menjadi ahli Cawangan Batu 1, namun pada 26 Ogos tahun yang sama beliau dipilih sebagai Ketua Cawangan semasa mesyuarat penubuhan Cawangan Kampung Sungai Sembilang.

Beliau berkata pihak tertentu berkenaan perlu akur dengan keputusan yang ditetapkan dan bukannya terus membuat pelbagai fitnah atau tohmahan yang mempertikaikan kedudukannya yang kini sebagai Ketua Cawangan Kampung Sungai Sembilang.

"Kalau saya tidak sah, takkan saya jadi Ketua Cawangan? Sebelum ini ada orang dari Marang, Terengganu turut tanya kenapa ada orang bahagian Kota Tinggi hantar surat mengenai status saya sampai ke sana dan tanya apa niat orang tersebut.

"Jadi, saya sudah buat pemeriksaan dengan Ibu Pejabat dan mendapati saya memang ahli cawangan Kampung Sungai Sembilang. Jadi orang itu kena bersih hati, terima hakikat bahawa sikap tabur surat satu negara bukan cara yang sebenar," katanya.

Sementara itu, Syed Hamid menjelaskan Ibu Pejabat Umno memutuskan dua anggota bahagian berkenaan A Malik Daeng Rahman dan Mohamadon Abu Bakar yang kini digantung keahliannya oleh Lembaga Disiplin, bulan lepas, tidak layak menghadiri mesyuarat perwakilan Umno bahagian tersebut Isnin ini.

Beliau berkata surat yang diterima daripada Setiausaha Kerja Umno Brig Jen (B) Datuk Husainay Hashim dua hari lepas, menjelaskan Fasal 6.3.4 Perlembagaan Umno serta Fasal 28.13 dan 28.14 Peraturan Persidangan menyatakan keduadua mereka yang dikenakan hukuman disiplin telah hilang hak kelayakan di bawah Fasal 6.2 Perlembagaan Umno. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain