suria

Shah Rukh Khan terima Datuk 29 November bukan minggu depan

KUALA LUMPUR: Shah Rukh Khan akan menerima Darjah kebesaran negeri Melaka yang membawa gelaran Datuk pada 29 November, dan bukannya Rabu ini sebagaimana yang dilapor semalam.

Seorang pegawai di pejabat Ketua Menteri berkata, majlis penganugerahan Darjah kebesaran di Seri Negeri di Melaka itu akan disiar secara langsung di televisyen pada pukul 10 pagi.

Semalam, Bernama melaporkan bintang filem Bollywood itu akan menerima anugerah berkenaan pada Rabu ini.

BERITA TERDAHULU

KUALA LUMPUR: Bintang filem Bollywood Shah Rukh Khan akan tiba di Melaka Rabu depan bagi menerima anugerah yang membawa gelaran Datuk.

Upacara penganugerahan darjah kebesaran berkenaan akan diadakan di Seri Negeri pada pukul 10 pagi dan kerajaan negeri merancang untuk menyiarkannya secara langsung melalui televisyen.

Ketika mengumumkan perkara itu di sini semalam, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd Ali Rustam berkata, bintang filem Hindi itu akan dipujuk supaya berada di Melaka satu atau dua hari dengan harapan beliau akan melawat Menara Taming Sari, Eyes on Malaysia dan beberapa tempat menarik dan bersejarah lain di negeri itu.

Beliau mempertahankan langkah kerajaan negeri memberi gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan walaupun ia menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak dengan memberi alasan bahawa bintang filem itu layak menerimanya kerana sumbangan besarnya kepada Melaka.

"Walaupun banyak pihak mencemuh, mengkritik dan memberi komen negatif terhadap langkah memberi gelaran Datuk kepada Shah Rukh Khan, tapi saya tetap percaya beliau patut dan layak diberi gelaran itu," katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Melaka di sini. Menurut Ali, sumbangan yang diberi oleh pelakon itu menyebabkan Melaka dikenali ramai serta dipandang hebat sedangkan kerajaan negeri tidak perlu membayar sesen pun kepadanya.

Beliau berkata seramai 100 juta orang dari seluruh dunia termasuk warga Eropah, Amerika, Asia dan Timur Tengah telah menonton filem lakonan Shah Rukh Khan yang dibuat penggambaran di Melaka dan ini membantu mempromosikan negeri itu.

Artikel Berikut

Artikel Lain