suria

Tee Kiat jumpa PM bulan depan bincang rombakan Kabinet

PEKAN: Presiden MCA Datuk Seri Ong Tee Keat akan menemui Perdana Menteri Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi awal bulan depan bagi membincangkan cadangan rombakan Kabinet berikutan perubahan pucuk pimpinan parti itu.

Ong berkata beliau hanya berkesempatan berjumpa Abdullah bulan depan memandangkan Perdana Menteri masih berada di Beijing dan beliau sendiri akan ke luar negara pada Deepavali ini.

"Saya akan berjumpa Perdana Menteri sebaik sahaja saya pulang daripada urusan rasmi itu bagi membincangkan perkara berkenaan dengan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas istiadat pengurniaan Darjahdarjah Kebesaran sempena hari keputeraan ke-78 Sultan Pahang Sultan Ahmad Shah di Istana Abu Bakar di sini hari ini.

Pada majlis itu Ong menerima Darjah Kebesaran Sultan Ahmad Shah peringkat pertama, Sri Sultan Ahmad Shah Pahang (SSAP) yang membawa gelaran Datuk Seri.

Ong berkata beliau telah mempunyai beberapa nama yang akan dicadang kepada Abdullah jika berlaku rombakan Kabinet.

"Cadangan nama itu memang ada tetapi apa yang penting ialah berjumpa dahulu dengan Perdana Menteri kerana itu adalah tanggungjawab saya sebagai Presiden parti yang baru untuk bertemu pucuk pimpinan," katanya.

Semalam, Perdana Menteri yang berada di Beijing tidak menolak kemungkinan berlaku rombakan Kabinet ekoran perubahan pucuk pimpinan MCA barubaru ini.

Abdullah berkata pihaknya memberi ruang kepada Ong untuk bertemu dengannya bagi memaklumkan sebarang perubahan yang hendak dilakukan.

Ditanya sama ada anggota Kabinet dari MCA yang tewas pada pemilihan parti itu akan dicadang diganti dengan calon yang menang, Ong berkata perkara itu juga harus dibincang dengan Perdana Menteri terlebih dahulu. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain