suria

Pencalonan Najib 66 Muhyiddin 46

KUALA LUMPUR: Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Tan Sri Muhyiddin Yassin terus menjadi calon popular bagi jawatan presiden dan timbalan presiden Umno untuk pemilihan parti Mac depan.

Terbaru, Umno Bahagian Beluran mencalonkan Najib untuk jawatan presiden, menjadikan jumlah pencalonan diterima beliau kepada 66.

Bahagian itu juga mencalonkan Muhyiddin bagi jawatan timbalan presiden, menjadikan jumlah pencalonan terkumpul bagi jawatan itu kepada 46 sehingga kini.

Najib, yang sudah melayakkan diri bertanding jawatan presiden pada 19 Oktober, terus kekal sebagai calon tunggal untuk jawatan presiden Umno setelah 66 bahagian Umno selesai mengadakan mesyuarat perwakilan masingmasing sehingga hari ini.

Had kelayakan bagi seorang anggota parti bertanding jawatan presiden ialah 58 pencalonan manakala bagi jawatan timbalan presiden ialah 39 pencalonan.

Muhyiddin juga telah melepasi had kelayakan bertanding bagi jawatan timbalan presiden pada 19 Okt.

Beluran, yang merupakan satu-satunya bahagian Umno yang bersidang semalam, mencalonkan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Musa Aman; Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Syed Hamid Albar untuk jawatan naib presiden.

Dengan pencalonan hari ini, Hishammuddin mengumpul 54 pencalonan, Syed Hamid 13 manakala bagi Musa, ia adalah pencalonan pertama untuk jawatan naib presiden Umno.

Pemimpin lain yang menerima pencalonan bagi jawatan naib presiden ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang mendapat 36 pencalonan setakat ini; Menteri Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (32); Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Mohd Khaled Nordin (30); Menteri Luar Datuk Seri Dr. Rais Yatim (enam); bekas menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad (enam); bekas menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Jamaludin Jarjis (empat); Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik (empat) dan Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan (dua).

Sementara itu, bagi pemilihan Pemuda Umno juga pada Mac depan, bekas menteri besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohd Khir Toyo hari ini mendapat satu lagi pencalonan daripada Pemuda Umno Bahagian Gua Musang yang mengadakan mesyuarat perwakilannya hari ini.

Dengan itu, jumlah pencalonan yang diterima oleh Mohd Khir untuk bertanding jawatan ketua pergerakan itu meningkat kepada 28.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Tun Dr. Mahathir masih mendahului dengan 63 pencalonan bagai jawatan ketua pergerakan itu diikuti oleh naib ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin dengan mengumpul 36 pencalonan.

Bagi jawatan Naib Ketua, Datuk Reezal Merican Naina Merican menerima satu lagi pencalonan untuk jawatan itu, menjadikan jumlah pencalonan yang diterimanya setakat ini sebanyak 45 pencalonan.

Anggota Parlimen Muar, Razali Ibrahim masih mendahului calon lain bagi jawatan naib ketua dengan 51 pencalonan; Ketua Pemuda Umno Kota Kinabalu Bahrul Razha Chuprat (tiga); Khairy (dua); Ketua Pemuda Umno Bagan Marzuki Yahaya, Ketua Pemuda Umno Subang Megat Firdaus Megat Junid dan Ketua Pemuda Umno Kapar Faizal Abdullah, masingmasing mendapat satu pencalonan.

Jumlah minimum pencalonan untuk bertanding jawatan Ketua Pemuda Umno ialah 39, manakala bagi jawatan naib ketua ialah 20 pencalonan.

Bagi Pergerakan Puteri Umno, Bahagian Kota Marudu hari ini mencalonkan Naib Ketua Puteri Umno, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dan Ketua Puteri Umno Perak, Dr Wan Norashikin Wan Nordin untuk bertanding masingmasing bagi jawatan Ketua dan Naib Ketua. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain