suria

Muhammad yakin lepasi kuota tanding Timbalan Presiden

PUTRAJAYA: Ketua Penerangan Umno Tan Sri Muhammad Muhd Taib berkata bukan menjadi masalah besar untuk calon-calon bertanding merebut jawatan Timbalan Presiden Umno sekiranya mesyuarat bahagian lebih menjurus mencalonkan mereka yang berasal dari negeri masing-masing.

Beliau berkata perkara itu sudah menjadi kelaziman, misalnya mesyuarat bahagian di Johor sudah semestinya mencalonkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan di Melaka pula calonkan Ketua Menterinya Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah itu yakin beliau akan melepasi kuota bertanding jawatan berkenaan kerana masih banyak lagi bahagian yang belum bermesyuarat.

"Masih ada 127 bahagian yang belum bermesyuarat dan di Selangor sendiri masih ada 15 bahagian yang belum mesyuarat," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat pasca kabinet kementeriannya di sini hari ini.

Beliau turut membayangkan keyakinan beliau akan mendapat sokongan daripada mesyuarat bahagian di Selangor.

"Masih banyak lagi...yang negeri lain itu bagibagilah pada calon lain pula ada banyakkan apa susahnya," katanya.

Muhammad masih memerlukan 30 pencalonan lagi daripada 39 untuk layak bertanding jawatan Timbalan Presiden Umno pada pemilihan parti Mac depan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain