suria

Rithauddeen Kempen panjang banyakkan kes politik wang

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Pengerusi Lembaga Disiplin Umno, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddeen Tengku Ismail tidak menolak kemungkinan tempoh kempen pemilihan yang panjang boleh menyumbang kepada lebih banyak berlakunya kes politik wang.

Beliau berkata, gejala tersebut berlaku pada setiap kali pemilihan parti diadakan dan ia dilihat seperti sudah menjadi satu budaya yang disifatkan beliau lebih teruk daripada barah di dalam Umno.

"Saya rasa keadaan itu (tempoh kempen yang panjang) akan membawa kepada politik wang bertambah.

"Bagaimanapun, oleh kerana kita disiasat (kes politik wang) begitu, maka terpulanglah kepada tiap-tiap ahli dan orang yang nak bertanding nak bagi wang.

"Kalau tak bagi, politik wang tak akan berlaku. Kalau mereka tak terima, tak berlaku," katanya ketika sidang media di ibu pejabat Umno di Menara Dato' Onn, di sini, hari ini.

Justeru katanya, pemikiran ahli-ahli Umno mesti diubah bagi memastikan gejala ini tidak terus berleluasa.

"Pemikiran ahli Umno mestilah ditukar...cara-cara...dah menjadi budaya. Dah 20 tahun nampak keadaan ini.

"(Tapi) bila nak tarik balik budaya tu, saya rasa sukarlah sedikit sebanyak tu," katanya.

Rithauddeen berkata, pihaknya tidak dapat mengambil tindakan kepada setiap kes politik wang yang berlaku jika tiada pihak yang membuat laporan.

Beliau berkata, untuk memastikan laporan dibuat oleh sesiapa yang mengetahuinya, Lembaga Disiplin akan memberi 'kekebalan' kepada mereka supaya identiti mereka dirahsiakan.

"Kita menghadapi masalah untuk mendapatkan bukti kerana mungkin orang yang nak mengadu tu takut dan sebagainya.

"Saya sekali lagi nak mengumumkan seperti mana pada (tahun) 2004, siapa yang bagi bukti kepada kita dan kita mengambil bukti-bukti daripada mereka akan diberikan 'imunity'(kekebalan).

"Kita mesti rahsiakan siapa dia. Tiap kali kita akan bagi 'imunity bar' kepada mereka (yang melaporkan) supaya identiti mereka tidak didedahkan dan kita dapat hapuskan gejala ini," katanya.

Ditanya sama ada Lembaga Disiplin boleh menangani gejala politik wang yang semakin menular ini, Rithauddeen berkata, ia boleh dilakukan sekiranya mendapat kerjasama daripada ahli-ahli parti daripada pelbagai peringkat.

"Ia boleh dihapuskan jikalau mendapat kerjasama daripada ahli parti yang betul-betul nak menghapuskannya.

"Yang malangnya, aduan tiada. Orang yang terima duit tu mana nak cerita, masuk poket dialah.

"Tapi jikalau betul-betul jujur dan tiap-tiap ahli ada perasaan nak menghapuskan, ini kita dapat hapuskan," katanya.

Ditanya mengenai cadangan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Rais Yatim supaya jawatan tertinggi parti dipertandingkan secara tender, Rithaudeen berkata, beliau percaya Rais hanya berjenaka mengenai perkara itu.

"Saya rasa beliau (Rais) tidak serius dan menyatakannya dalam cara berjenaka. Saya tidak tahu betul atau tidak dan sejauh mana beliau serius ketika menyatakannya.

"Bagaimanapun, dalam perlembagaan kita (pemimpin) mesti dipilih dan (jika ditender) adakah kita akan dapat orang yang boleh memimpin parti dan negara," katanya.

Pada sidang media itu juga, Rithauddeen turut mengumumkan senarai nama ahli-ahli Umno yang dibicarakan dua minggu lalu kerana dilaporkan melanggar tataetika parti.

"Daripada 15 kes yang dibicarakan, lapan daripadanya didapati bersalah.

"Dua daripada lapan itu akan dicadangkan kepada Majlis Tertinggi (MT) Umno untuk dipecat keahliannya iaitu Isang Rawai dari Bahagian Kota Marudu kerana bertanding sebagai calon Bebas pada pilihan raya umum lalu dan Mohd Shamsuddin Dawam dari Ledang kerana bertanding mewakili parti PAS," katanya.

Rithauddeen berkata, sementara itu, enam lagi telah diberi amaran iaitu Datuk Ishak Ismail dari Bahagian Seremban kerana melakukan sabotaj kepada calon Barisan Nasional (BN) yang bertanding pada pilihan raya umum lalu, Datuk Mustaffar Kamal Ab Hamid dan Datuk Abdullah Abu Bakar dari Raub kerana terlibat dalam politik wang.

Turut diberi amaran adalah Ketua Umno Bahagian Labuan, Datuk Suhaili Abdul Rahman kerana didapati menyalahguna kuasa dan Datuk Yunus Kurus serta Alias Hussin masing-masing Pengerusi Tetap dan Naib Ketua Bahagian cawangan Bahagian Labuan kerana tingkah laku yang melanggar etika semasa menjalankan mesyuarat parti.

Rithaudeen berkata, mereka yang didapati tidak bersalah dalam perbicaraan itu adalah Jelin Dasanap @ Jelani Hamdan, Majial Mangulizang dan Kampun Inok dari Bahagian Kota Marudu, Datuk Ahmad Yassin dan Ja'afar Ahmad dari Ledang serta Shahril Ismail dan Jamilah Endan dari Tanjong Piai.

Beliau berkata, sebanyak 632 laporan salah laku ahli telah diterima Lembaga Dispilin sejak pilihan raya umum lalu.

"Daripada jumlah itu, 185 kes adalah aduan baru yang diterima bermula 30 September lalu.

"Sementara itu, sebanyak 135 kes telah disiasat oleh panel penyiasatan, 40 kes belum dimulakan siasatan dan 51 kes perlukan dokumen tambahan (Borang A).

"Selain itu, jumlah aduan kategori tiada tindakan lanjut adalah 92; yang bukan di bawah bidang kuasa Lembaga Disiplin, 124 dan masih dalam perhatian (KIV) adalah lima kes," katanya.

Rithauddeen berkata, jumlah aduan yang telah disiasat tetapi tiada kes prima facie adalah 31; tertuduh yang dipanggil untuk tunjuk sebab, 30; tertuduh yang didapati bersalah, 18; tertuduh yang didapati tidak bersalah, tujuh dan tertuduh yang belum diputuskan, lima.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain