suria

Mufti Perlis Zakat untuk bukan Islam tujuan dakwah

PETALING JAYA: Isu pemberian zakat kepada masyarakat bukan Islam menjadi isu apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kota Damansara, Dr Nasir Hashim memberikan cadangan menyalurkan wang peruntukan zakat kepada orang bukan Islam.

Beliau berpendapat wang tersebut dapat membantu golongan yang kurang berkemampuan sekalipun mereka bukan beragama Islam.

Namun cadangan tersebut dibantah oleh Pergerakan Pemuda Umno Bahagian Subang dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pekida menentang cadangan tersebut.

Kelmarin mereka mengadakan bantahan secara aman dihadapan pejabat Adun Kota Damansara dan turut menyerahkan memorandum kepada Setiausaha Adun Kota Damansara, A. Sivarajan.

Ketua Penerangan Pekida Petaling Jaya, Mohamad Salleh menyifatkan cadangan Adun berkenaan meyimpang dan terkeluar daripada matlamat seorang wakil rakyat beragama Islam.

Sementara itu, Mufti Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin yang sebelum ini pernah memberi komennya berhubung isu tersebut dalam akhbar Mingguan Malaysia, sekali lagi tampil menjelaskan pendirian beliau berhubung isu itu.

“Kita sering mendapat maklumat adanya persatuan atau gerakan agama-agama tertentu yang memperuntukkan wang yang banyak bagi menawan orang ramai agar tertarik dengan mereka. Maka timbullah kisah-kisah orang menukar agama kerana termakan budi," kata Asri yang dipetik daripada blognya di drmaza.com

"Mengapa kita bising dan hairan. Sebenarnya, Islam melalui zakat telah lama membuat pemberian ini di bawah peruntukan golongan muallaf.

"Muallaf itu bukan sekadar mereka yang baru menganut Islam seperti tafsiran singkat sesetengah pihak," ujarnya.

Jelasnya, ia merangkumi mereka yang belum menganut Islam dan diharapkan dengan pemberian zakat tersebut menjinakkan hati mereka kepada Islam. Juga para pemimpin yang lemah iman. Diharapkan dengan pemberian itu menguatkan iman mereka.

Juga pemimpin yang kuat iman namun mempunyai saingan dengan kaum kuffar.

Dengan pemberian itu diharapkan pesaing mereka akan tertarik kepada Islam.

Bahkan untuk golongan bukan Islam yang diharapkan pemberian zakat dapat mengelakkan mereka menyakiti umat Islam dan akan suka kepada agama ini. Yusuf al-Qaradawi mengumpulkan peluasan ini dalam karyanya Fiqh al-Zakah.

Tambah beliau, jika hal tersebut dilihat dengan luas betapa kita dapat menggunakan zakat untuk berbagai aktiviti dakwah agar bukan muslim tertarik kepada Islam.Termasuklah memberikan bantuan kepada mereka yang cuba dipengaruhi agar murtad. Dengan pemberian zakat, boleh kembali menguatkan semangat Islam mereka.

"Malangnya, bukan sahaja tafsiran kita tidak luas tentang muallaf ini, bahkan ’saudara baru’ yang sedia ada pun tidak dijaga dengan baik oleh wang zakat."

"Sehingga ada yang keluar semula kerana tidak mendapat perhatian dari masyarakat Islam. Selepas itu kita hairan kenapa ada orang ingin murtad!!," katanya.

Tegasnya, sepatutnya persatuan-persatuan saudara baru diberikan peruntukan zakat yang banyak agar wajah kita yang tercemar dek kisah ramai yang ingin murtad bertukar menjadi kisah ramainya orang yang ingin menganut Islam”.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain