suria

Keputusan perkahwinan Siti Fatimah 5 November depan

KUALA TERENGGANU:Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini menetapkan 5 Nov ini untuk membuat keputusan berhubung pengesahan perkahwinan seorang nenek, Siti Fatimah Yaacob dengan bekas suami keduanya yang menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah lima tahun lepas.

Hakim Syarie Shaikh Ahmad Ismail menetapkan tarikh itu setelah membenarkan permohonan peguam untuk mengemukakan penghujahan bertulis kepada mahkamah sebelum Rabu depan.

Terdahulu, peguam Anuwar Mohd yang mewakili Siti Fatimah, memohon kepada mahkamah supaya menetapkan tarikh lain bagi membuat keputusan kes itu kerana beliau perlu memfailkan penghujahan bertulis.

Anuwar berkata antara perkara yang akan dikemukakan dalam penghujahan itu ialah berkaitan keizinan perkahwinan, penentuan tempoh idah serta perintah tafriq atau perintah berpisah dengan arahan mahkamah.

Dalam kes berkenaan, Siti Fatimah, 47, dan Wan Yosof Long, 63, dikatakan berkahwin pada September 2005 di Besut menggunakan khidmat jurunikah tidak bertauliah dan mendapat surat keterangan perkahwinan daripada Majlis Agama Islam Songkla, Thailand.

Setelah dua tahun berkahwin, mereka dikatakan berpisah selepas Siti Fatimah memohon cerai taklik daripada Jabatan Agama Islam Songkla.

Siti Fatimah kemudian berkahwin lagi dengan seorang lelaki berketurunan Pakistan Mac lepas menyebabkan Wan Yosof memfailkan permohonan pengesahan pernikahan mereka di Mahkamah Tinggi Syariah di sini.

Sepanjang perbicaraan, Siti Fatimah dan suami barunya itu telah dikenakan arahan difaraqkan atau dipisahkan sehingga menunggu kes itu selesai.

Siti Fatimah yang mempunyai dua orang cucu hari ini ditemani suami ketiganya di mahkamah, yang sepatutnya membuat keputusan kes tersebut. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain