suria

Empat lelaki larikan barang kemas bernilai lebih setengah juta

IPOH: Empat lelaki, seorang daripadanya bersenjata pistol melarikan barangan kemas bernilai lebih setengah juta dari sebuah kedai emas di Gunung Rapat di sini hari ini.

Pengawal keselamatan kedai itu, Nasaruddin Mohd Samsuddin, 45, berkata kejadian berlaku pada kira-kira pukul 11.20 pagi ketika empat pekerja dan seorang pelanggan berada dalam kedai itu.

"Empat lelaki masingmasing memakai topeng menaiki sebuah kereta Proton Waja berwarna perak berhenti di hadapan kedai dan tiga daripadanya meluru masuk ke kedai.

Seorang daripada lelaki itu mengacukan sepucuk pistol ke arah saya dan mengarahkan pekerja supaya tidak membuat bising," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Nasaruddin yang tidak memiliki senjata ketika bertugas, berkata beliau hanya mampu melihat dua daripada lelaki itu mengunakan parang dan pisau mencungkil serta memecahkan almari yang mengandungi barang kemas.

Mereka memasukkan barangan kemas itu ke dalam karung sebelum melarikan diri dengan kereta yang menunggu di luar kedai, katanya.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Azisman Alias ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan berkata kes itu sedang disiasat.

Berdasarkan siasatan awal, polis percaya empat lelaki itu berusia dalam lingkungan 30an dan mereka menggunakan kereta curi, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain