suria

Dewan Rakyat Karpal digantung dua hari

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) digantung selama dua hari daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat berkuat kuasa serta-merta.

Keputusan itu dibuat oleh Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia semasa sesi soal jawab lisan.

Karpal dikenakan tindakan tersebut kerana menuduh dan mencabar kewibawaan Pandikar Amin yang dianggap `bersikap tidak serius dan main-main’ semasa mempengerusikan sidang Dewan.

Keputusan Pandikar Amin itu mengikut Perkara 44 (3) kerana Karpal menggunakan perkataan yang dianggap kurang ajar kepadanya.

"Saya gunakan kuasa saya di bawah Peraturan 44 (3) kepada Bukit Gelugor, saya gantung dua hari tidak boleh hadir dewan kerana guna perkataan kurang ajar, saya sekarang serius dan tidak main-main," kata Pandikar Amin.

Bagaimanapun Karpal enggan meninggalkan Dewan sehingga memaksa Pandikar Amin mengarahkan Bentara membawa ahli Parlimen senior itu keluar.

Kekecohan itu berlaku apabila Karpal menuduh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz menghina orang kurang upaya (OKU) ketika menjawab soalan tambahan Wee Choo Keong (PKR-Wangsa Maju) berhubung kos perbelanjaan kerajaan bagi jamuan makan malam Majlis Peguam Malaysia pada April lalu.

Dalam jawapan itu, Nazri berkata: "Butalah jika orang tidak nampak bahawa hubungan Majlis Peguam dengan pentadbiran Perdana Menteri terdahulu agak tidak begitu baik".

Karpal kemudiannya membangkitkan Peraturan Mesyuarat 36 (4) dengan mendakwa Nazri menghina orang buta.

Bagaimanapun Pandikar Amin kemudiannya mencelah dan berkata bahawa beliau tidak nampak jawapan Nazri itu menghina masyarakat OKU.

"Saya rayu supaya ahli Yang Berhormat berpegang teguh pada Peraturan Mesyuarat dan elakkan daripada berhujah yang melanggar Peraturan Mesyuarat.

"Bagi saya, saya tidak nampak di situ ada Peraturan Mesyuarat dan apabila saya buat (keputusan) maka Wangsa Maju saya arah keluar, ada lagi ahli Yang Berhormat saya suruh keluar," katanya.

Tidak berpuas hati dengan kenyataan Speaker itu, Karpal kemudiannya membantah dan menuduhnya tidak serius dalam membuata keputusan.

"Tuan Speaker, jangan main-main...tuan Speaker tidak serius dalam perkara ini," kata Karpal.

Semasa ketegangan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PKR-Permatang Pauh) bangun dan meminta supaya Speaker mempertimbangkan semula keputusan yang telah dibuat.

Namun Pandikar Amin tetap dengan pendiriannya kerana Ketua Pembangkang itu tidak berjaya memberi jaminan bahawa perkara yang sama tidak akan ditimbulkan lagi oleh ahli Parlimen pembangkang.

Sementara itu dalam satu sidang media, Pandikar Amin melahirkan rasa kecewa dengan apa yang berlaku.

"Bukan lagi kecewa, saya amat kecewa dengan sikap kerana itu bukan menunjukkan sikap ahli Yang Berhormat," katanya dengan nada kesal.

Menurutnya, selepas ini beliau tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana ahli Parlimen yang melanggar Peraturan Mesyuarat.

"Saya sudah mula berpendirian bahawa sesiapa yang melanggar Peraturan Mesyuarat yang saya fikirkan keterlaluan, saya tidak akan teragak-agak untuk menggunakan kuasa saya," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain