suria

77 ahli Parlimen sokong usul ISA diberi keutamaan

[DIKEMAS KINI] KUALA LUMPUR: Seramai 77 ahli Parlimen menyokong supaya usul yang berkaitan dengan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) diberi keutamaan untuk dibahaskan di Dewan Rakyat.

Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) berkata, usul tersebut perlu diberi keutamaan dan melalui segala urusan rasmi kerana isu yang berkaitan dengannya dilihat begitu penting untuk dibahaskan.

"Kita dapat sokongan, semua ahli Palimen tersebut termasuk seorang daripada Barisan Nasional (BN), dua (Bebas) dan 74 (Pakatan Rakyat)," katanya dalam sidang media di lobi Parlimen hari ini.

Usul yang berkaitan dengan ISA telah dikemukakan oleh Teresa Kok (DAP-Seputeh) supaya akta tersebut dibahaskan atau dimansuhkan kini berada pada kedudukan ke-43 senarai aturan urusan mesyuarat dan usul-usul.

"Kaukus ahli Parlimen telah usahakan petisyen ini kepada Perdana Menteri supaya mengutamakan usul ini untuk dibincang dan dibahas apabila Parlimen balik (kembali bersidang) daripada Deepavali sama ada 29, 30 atau 3 November ini," katanya.

Bagaimanapun, Lim menjelaskan tidak semua ahli Parlimen Pakatan Rakyat menandatangani petisyen tersebut kerana ada antara mereka berada di luar negara.

"Kenapa bukan semua 82 ahli Parlimen Pakatan Rakyat? Kerana ada yang berada di luar negara...ini adalah peringkat pertama, dan peringkat kedua akan dihantar selepas Parlimen kembali bersidang," jelasnya.

Tambah beliau, petisyen tersebut akan diserahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dengan segera supaya dipertimbangkan untuk dibahaskan secepat mungkin.

"Perdana Menteri perlu mengambil kira hasrat lebih daripada satu pertiga ahli Parlimen.

"Ini sesuatu yang bersejarah kerana tidak pernah berlaku 77 ahli Parlimen mahu satu perbahasan dilakukan, jadi ini perlu diberi keutamaan kalau amalan demokrasi benar-benar bererti," katanya.

Lim berkata, permintaan tersebut bukan bermaksud meminta kerajaan menghapuskan sepenuhnya ISA.

"Ini bukan satu komitmen untuk mansuhkan ISA, terpulang kepada perbahasan dan kepada keputusan Parlimen apabila usul ini dibahaskan.

"Ini hanya satu permintaan supaya satu kajian dan semakan diadakan terhadap ISA," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain