suria

Syed Hamid nafi KDN arah tarik pasport Moorthy

PUTRAJAYA: Kementerian Dalam Negeri tidak pernah mengarahkan supaya pasport pemimpin Hindraf P. Waytha Moorthy yang sendirinya kini tinggal dalam buangan di Britain, ditarik balik.

Menteri berkenaan, Datuk Seri Syed Hamid Albar berkata, kementeriannya hanya meminta beliau menyerahkan pasportnya kepada Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Britain.

"Tetapi beliau enggan berbuat demikian jadi macam mana pasport itu boleh dibatalkan jika beliau tidak pernah menyerahkan pasport berkenaan," katanya kepada pemberita di Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri RELA di sini, hari ini.

Beliau berkata, arahan juga tidak pernah dibuat untuk membatalkan pasport Waytha Moorthy melalui sistem yang ada dan beliau masih boleh menggunakan pasport tersebut kerana ia masih sah laku.

Hari ini, 11 penyokong Hindraf membuat kacau di Parlimen apabila mereka mahu menyerahkan satu memorandum kepada Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia meminta beliau campur tangan agar kerajaan mengaktifkan semula pasport pemimpin mereka itu.

Kumpulan itu mendakwa pasport Waytha Moorthy telah ditarik balik dan dengan itu, beliau tidak dapat pulang ke Malaysia menyambut Deepavali dengan keluarganya. BERNAMA

Artikel Lain